SHAH ALAM, 7 SEPT: Enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9.30 malam ini, dengan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi 186.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Shah Alam merekodkan IPU 165, diikuti Klang dan Banting masing-masing 158 manakala Kuala Selangor serta Petaling Jaya masing-masing mencatat 156.
Beberapa kawasan lain di Semenanjung turut berada pada tahap tidak sihat termasuk Seri Manjung (164) dan Tasek Ipoh (163) di Perak, Putrajaya (160) serta Nilai, Negeri Sembilan (160).
Bacaan tidak sihat turut direkodkan di Tanjung Malim (158), Batu Muda dan Seremban masing-masing 157, Cheras dan Segamat masing-masing 155 serta Pegoh Ipoh dan Bukit Rambai masing-masing 154.
Taiping dan Alor Gajah pula masing-masing mencatat IPU 152, diikuti Batu Pahat (151) dan Tangkak (134).
Sementara itu, keadaan lebih buruk direkodkan di Sarawak apabila empat kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.
IPD Serian mencatat bacaan tertinggi negara iaitu 275, diikuti Samarahan (237), Kuching (215) dan Sri Aman (202).
Sarikei pula merekodkan IPU 193 pada tahap tidak sihat, diikuti Mukah dan Sibu masing-masing 181, Samalaju (174), Miri (168) serta ILP Miri dan Bintulu masing-masing 167.
Secara keseluruhan, 33 kawasan mencatat IPU tidak sihat, 29 kawasan sederhana dan dua kawasan baik, manakala tiada lokasi merekodkan tahap bahaya.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.






