Cederakan kanak-kanak autistik, guru taska didenda RM800

7 Sep 2026, 7:26 AM
Cederakan kanak-kanak autistik, guru taska didenda RM800

KLANG, 7 SEPT: Seorang guru taska didenda RM800 dan dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun, bulan lepas.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Lenah Abdul, 43, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak autistik itu pada kira-kira 10 pagi, 28 Ogos lepas di sebuah pusat pendidikan untuk kanak-kanak istimewa atau berkeperluan khas di Taman Sentosa, di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan apabila kemarahan tertuduh dibangkitkan dengan serius dan secara tiba-tiba, tanpa niat menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan mendapati kesan lebam pada paha kiri, perut, lengan dan pipi anaknya dipercayai akibat dipukul dan dicubit sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibu kanak-kanak berkenaan yang kemudian menghubungi pihak taska.

Pihak taska memaklumkan mangsa tidak terkawal pada hari kejadian sehingga guru yang bertugas hilang kesabaran dan memukul kanak-kanak itu menggunakan penyangkut baju dan susulan itu satu laporan polis dibuat bapa mangsa.

Terdahulu, peguam Adam Rosli yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai lima anak yang masih bersekolah, termasuk seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme dan hanya berpendapatan RM1,700 sebulan serta insaf atas perbuatan tersebut.

Peguam itu memaklumkan kejadian berlaku ketika tertuduh berdepan situasi sukar apabila mangsa dikatakan kerap membuang air besar dalam lampin dan mengotorkan dinding menggunakan najis berkenaan selain pada hari kejadian, terdapat tujuh kanak-kanak yang aktif sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan tertuduh merupakan guru dan penjaga yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak autisme di pusat berkenaan.

Beliau berkata kegagalan tertuduh mengawal emosi menyebabkan kecederaan kepada mangsa selain perbuatan itu melibatkan kepentingan awam.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.