SHAH ALAM, 7 SEPT: Sungai Bernam bakal menjadi nadi transformasi pekan Sabak menerusi cadangan pembangunan Denai Sungai Bernam yang menggabungkan elemen warisan, rekreasi, pelancongan dan ekonomi.
Cadangan pembangunan itu diketengahkan bersempena Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) @ Denai Sungai Bernam Peringkat Negeri Selangor 2026 di Pangkalan Sabak, baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim.
Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Awaluddin Zakaria berkata pembangunan denai dicadangkan sepanjang 150 meter di persisiran Sungai Bernam dengan konsep ‘Bandar Warisan Tepian Sungai’ sebagai teras pembangunan.
Menurutnya, cadangan itu dirangka bagi mengangkat Sungai Bernam sebagai aset rekreasi, pelancongan dan ekonomi, selain memperkukuh identiti pekan Sabak yang mempunyai nilai sejarah serta hubungan erat dengan sungai.
“Komponen utama yang dicadangkan ialah pembangunan Esplanade Waterfront sepanjang 150 meter, dek pandang, jeti baharu, kedai dan ruang niaga serta taman permainan,” katanya menerusi Facebook.
Awaluddin berkata kemudahan dek pandang pula bakal menyediakan ruang panorama Sungai Bernam dan berpotensi menjadi tarikan ikonik di Denai Sungai Bernam.
“Manakala jeti baharu pula dapat menghidupkan kembali aktiviti bot tambang antara pekan Sabak dengan Hutan Melintang, sekali gus mewujudkan pengalaman pelancongan berasaskan sungai yang lebih menarik serta menghubungkan komuniti di kedua-dua kawasan,” katanya.
Pada masa sama, pengukuhan kawasan sekitar pekan Sabak turut dicadangkan menerusi projek mural di lorong belakang kedai, Pasar Karat dan Pasar Marjina bagi mewujudkan tarikan baharu serta menghidupkan semula kawasan komersial sedia ada.
“Pelaksanaan pembangunan ini kita jangka dapat memperkukuh kawasan rekreasi utama di pekan Sabak, selain mewujudkan destinasi rekreasi tepian sungai yang menjadi tarikan kepada penduduk dan pengunjung,” tambahnya.







