SPRM siasat isu lewat agih bekalan baja di Kedah

7 Sep 2026, 1:57 AM
SPRM siasat isu lewat agih bekalan baja di Kedah

SHAH ALAM, 7 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di Kedah.

SPRM memaklumkan pihaknya meneruma aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berhubung kelewatan pembekalan baja itu pada 26 Ogos lalu.

“Siasatan berhubung isu itu dilakukan oleh SPRM Kedah bagi menyiasat bukan sahaja daripada aspek jenayah, namun termasuk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SPRM memaklumkan setakat ini pihaknya telah merakam percakapan seorang saksi daripada PeSAWAH dan menerima beberapa dokumen berkaitan.

“SPRM menyambut baik gesaan serta keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu ini dan telah berhubung dengan pihak KPKM serta MADA bagi siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Kedah Mardhiyyah Johari agar kerajaan mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pengagihan Baja Padi 3 di kawasan MADA.

Kelewatan itu menyebabkan kira-kira 38,000 pesawah dengan keluasan tanaman seluas 78,117 hektar di kawasan MADA terjejas.

MADA pada 18 Ogos lepas memaklumkan sebanyak 22 peratus, iaitu 137,560 beg Baja Padi 3 telah dibekalkan berbanding keperluan keseluruhan sebanyak 616,015 beg.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.