SEREMBAN, 6 SEPT: Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kes dadah ditembak mati dalam kejadian di kawasan perumahan di Garden Homes, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kejadian berlaku pada 1.50 petang dan maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan, akan dikongsikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Ibu Pejabat Daerah Seremban, esok.
“Ya, saya sahkan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan lelaki berusia 50-an itu dipercayai mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, termasuk orang dikehendaki untuk kes di bawah akta penculikan.
Terdahulu, penduduk sekitar yang mahu dikenali sebagai Ali, 72, berkata beliau berada di rumah selepas selesai menunaikan solat ketika dimaklumkan jiran mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata jiran tersebut memaklumkan terdengar bunyi seperti beberapa das tembakan, namun beliau tidak mendengarnya kerana berada di dalam rumah.
“Selepas itu, saya nampak banyak kereta peronda polis dan kawasan menghala lokasi kejadian ditutup dengan pita kuning, manakala kenderaan tidak dibenarkan masuk.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di kawasan perumahan ini dan kami bimbang mengenai keselamatan penduduk, sekiranya kejadian seumpama ini berulang di tempat lain,” katanya.
Warga emas itu berkata kira-kira seminggu lepas, mereka turut menyedari kehadiran beberapa kereta berhampiran kawasan itu pada waktu tengah malam, sekali gus menimbulkan curiga dalam kalangan penduduk.







