SHAH ALAM, 6 SEPT: Jumlah pengasuh terlatih dalam komuniti perlu ditambah bagi memastikan ibu bekerja mendapat akses kepada penjagaan anak yang lebih selamat, berkualiti dan diyakini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata pengasuh terlatih menjadi antara komponen penting dalam membina sistem sokongan kukuh kepada wanita bekerja, selain memperkasa perlindungan kanak-kanak, lapor Berita Harian.
Menurutnya, Program Kasih Madani yang setakat ini melatih 1,000 pengasuh wajar diperluas dengan penyertaan lebih ramai tenaga pengasuh pada masa depan.
“Kalau hari ini kita ada 1,000 pengasuh yang sudah dilatih, tahun depan kita mahu tambah lagi 2,000, 3,000, 4,000, 5,000 supaya kami yang bekerja dan puan-puan yang mengasuh anak kami dapat sama-sama membangunkan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gala Pesona Kasih Madani di Pusat Konvensyen PICCA, Butterwoth, semalam.
Fadhlina berkata pengasuh bukan sekadar menjaga kanak-kanak, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem sokongan kepada keluarga, khususnya ibu yang perlu meneruskan kerjaya.
Katanya, perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang perlu bermula sejak peringkat pengasuhan hingga mereka memasuki alam persekolahan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata pengalaman sebagai ibu bekerja dan bekas peguam membuatkannya memahami cabaran mendapatkan penjagaan anak ketika berdepan jadual kerja yang padat.
“Saya memang rasa sangat bersalah sebab sebagai seorang ibu yang bekerja dan peguam ketika itu, jadual kerja saya sangat ketat sehingga saya tiada pilihan selain menghantar anak kepada pengasuh.
“Itulah pengalaman yang membuatkan saya merasakan pengasuh mesti mempunyai satu komitmen, peluang dan juga tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman kehilangan anak keempat akibat Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) yang menyebabkan dirinya mengalami trauma dan berdepan dilema sama ada mahu meneruskan kerjaya atau berhenti bagi menjaga anak-anak.
Menurutnya, sokongan keluarga ketika itu banyak membantu beliau meneruskan kerjaya, sekali gus memperlihatkan pentingnya jaringan sokongan dalam ekosistem penjagaan kanak-kanak.
Fadhlina berkata pengalaman berkenaan antara faktor yang mendorongnya memberi sokongan penuh kepada Program Kasih Madani kerana sistem penjagaan kanak-kanak yang kukuh bukan sahaja membantu ibu bekerja, malah menjamin perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak.
Beliau turut menyeru lebih ramai wanita menyokong program berkenaan bagi memperkukuh jaringan sokongan kepada komuniti dan golongan wanita bekerja.







