SHAH ALAM, 5 SEPT: Kes asma dilaporkan meningkat lebih lapan kali ganda susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini, selain peningkatan kes sakit mata (konjunktivitis).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, keadaan itu berlaku apabila zarah halus dalam jerebu merangsang saluran pernafasan dan mencetuskan keradangan.
“Perkembangan terkini mendapati kes asma dilaporkan meningkat lebih lapan kali ganda.
“URTI pula berlaku apabila bahan pencemar jerebu melemahkan pertahanan paru-paru, lalu memudahkan virus dan bakteria menyerang.
“Selain itu, konjunktivitis turut berlaku kerana zarah jerebu merengsakan mata secara langsung,” katanya seperti dilapor BH Online.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya minggu lalu memaklumkan sebanyak 1,811 kes asma direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-34, meningkat daripada 219 kes pada minggu sebelumnya.
Kes konjunktivitis turut meningkat kepada 720 kes berbanding 146 kes pada ME ke-33, manakala kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) pula menurun 50 peratus daripada 3,674 kepada 1,857 kes.
Menurut Dr Zainal Ariffin, pendedahan kepada zarah halus dalam jerebu turut meningkatkan risiko jangkitan saluran pernafasan serta komplikasi lebih serius seperti kesesakan pernafasan dan jangkitan paru-paru (pneumonia).
“Kajian mendapati pencemaran udara meningkatkan kes jangkitan saluran pernafasan.
“Kebimbangan utama adalah kesesakan pernafasan teruk dan jangkitan paru-paru (pneumonia),” katanya.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat, terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun dan warga emas.
Dr Zainal berkata, kedua-dua golongan itu antara yang paling terdedah kepada kesan jerebu kerana sistem imun serta fungsi paru-paru mereka lebih lemah.
“Selain itu, penghidap penyakit kronik seperti asma, penyakit jantung dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) turut berisiko mengalami komplikasi kesihatan akibat pendedahan kepada jerebu.
“Wanita hamil dan perokok juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana mereka berdepan risiko kesihatan yang lebih tinggi apabila terdedah kepada pencemaran udara,” katanya.







