KATHMANDU, 4 SEPT: Dua pekerja berjaya diselamatkan dari terowong Projek Hidroelektrik Trishuli 3A di Nepal, sembilan hari selepas banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.
Tentera Nepal memaklumkan operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa lain yang dipercayai terperangkap di dalam terowong projek berkenaan.
Dua mangsa yang diselamatkan dikenal pasti sebagai Kabir Maharjan, 45, penyelia projek automasi Upper Trishuli 3A dari Kathmandu dan Sanjaya Sah, 30, seorang mandur dari daerah Saptari.
Pasukan penyelamat dilaporkan memperhebat usaha menembusi terowong selepas terdengar suara dari dalam sebelum berjaya berkomunikasi dengan individu yang terperangkap.
Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital di Kathmandu untuk mendapatkan rawatan, dengan seorang daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Pegawai kanan Pihak Berkuasa Elektrik Nepal, Suresh Raut yang berada di lokasi operasi turut memaklumkan bantuan oksigen diberikan kepada mangsa selepas mereka ditemukan.
Penemuan dua mangsa itu memberi harapan baharu kepada operasi mencari dan menyelamat individu yang dipercayai masih terperangkap di beberapa terowong projek hidroelektrik yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Menurut laporan Associated Press, kira-kira 115 individu dipercayai masih berada dalam terowong Trishuli 3A, manakala sekitar 500 pekerja dipercayai terperangkap di terowong membabitkan 12 projek hidroelektrik yang terjejas.
Setakat tengah hari tadi, angka kematian akibat bencana itu di Nepal meningkat kepada 1,287 orang dengan 5,083 lagi masih hilang.
Di wilayah Tibet, China mengesahkan 21 kematian manakala 541 mangsa belum ditemukan.
Penilaian awal turut mendapati 7,570 rumah dan 48 bangunan kerajaan mengalami kerosakan, selain 55 kilometer jalan musnah serta 37 jambatan tidak lagi boleh digunakan.



