AFFIN rakan perbankan rasmi Selangor FC, perkukuh manfaat penyokong

4 Sep 2026, 7:07 AM
AFFIN rakan perbankan rasmi Selangor FC, perkukuh manfaat penyokong
AFFIN rakan perbankan rasmi Selangor FC, perkukuh manfaat penyokong
AFFIN rakan perbankan rasmi Selangor FC, perkukuh manfaat penyokong

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Kumpulan AFFIN dilantik sebagai rakan perbankan rasmi Selangor FC menerusi kerjasama strategik yang bakal menawarkan pelbagai manfaat kepada penyokong Red Giants selain memperluas program komuniti dan pembangunan sukan.

Kerjasama berkenaan merangkumi sektor perbankan, pengalaman pelanggan, penglibatan peminat serta program komuniti, sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua pihak meneroka lebih banyak inisiatif yang memberi nilai kepada masyarakat.

Perjanjian itu dimeterai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Majlis pemeteraian disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC.

Wan Razly berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada arena bola sepak, malah berpotensi memperkukuh ekosistem sukan, pelancongan, peluang perniagaan serta pembangunan sosioekonomi di Selangor dan Malaysia.

“Pelaburan dalam sukan bukan sekadar mengenai persaingan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan bakat, pemerkasaan komuniti dan masa depan generasi baharu.

“Kami berharap gabungan kekuatan AFFIN dan Selangor FC dapat memacu ekosistem sukan, pelancongan, peluang perniagaan serta pembangunan sosioekonomi di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Kerjasama itu turut menyaksikan pelancaran kad khas yang membawa identiti serta semangat Selangor sebagai sebahagian usaha merapatkan hubungan antara pelanggan AFFIN dan penyokong Selangor FC.

Menerusi inisiatif tersebut, pelanggan AFFIN dan penyokong Selangor FC termasuk komuniti Red Giants dijangka menikmati akses kepada keistimewaan eksklusif serta pengalaman berkaitan bola sepak.

Wan Razly berkata pendekatan itu selari dengan perubahan keperluan pelanggan yang kini bukan sahaja melihat kepada produk dan perkhidmatan kewangan, malah turut menghargai pengalaman serta hubungan yang dekat dengan gaya hidup dan minat mereka.

Sementara itu, Johan berkata Selangor FC mengalu-alukan kehadiran AFFIN sebagai rakan perbankan rasmi ketika kelab berkenaan berusaha meneruskan momentum di peringkat domestik dan serantau.

Kerjasama itu dijangka memperluas lagi peranan bola sepak sebagai platform yang mampu menghubungkan penyokong, komuniti dan sektor korporat selain menyokong pembangunan sukan secara lebih menyeluruh.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.