KUALA LUMPUR: Daerah Serian, Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 521 setakat jam 2 petang tadi, melepasi paras 500 yang dianggap tahap pencemaran amat ekstrem dan boleh mencetuskan tindakan kecemasan.
Semakan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Kuching turut berada pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 311.
Dua lokasi pula merekodkan tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan dengan IPU 284 dan Sri Aman (235).
Sebanyak 11 lokasi berada pada tahap tidak sihat, membabitkan Sarikei (182), Sibu (181), Mukah (177), Bintulu (157), Kota Kinabalu (152), Tawau (151), Samalaju (146), Sandakan (140), Pasir Gudang (128), Segamat (115) dan Miri (112).
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat dan 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
IPU melebihi 500 lazimnya dianggap tahap pencemaran amat ekstrem dan boleh memerlukan tindakan kecemasan segera oleh pihak berkuasa bergantung kepada situasi semasa.







