Kebakaran gambut bawah tanah Indonesia cetus jerebu rentas sempadan

4 Sep 2026, 6:00 AM
Kebakaran gambut bawah tanah Indonesia cetus jerebu rentas sempadan

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kebakaran hutan di Indonesia dikesan berlaku bukan sahaja di permukaan, malah membara di bawah tanah susulan kemarau teruk dan meluas, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman serta meningkatkan pencemaran udara.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan sebahagian kebakaran melibatkan tanah gambut tropika yang terbakar perlahan pada suhu rendah, namun mampu merebak di bawah permukaan.

Menurut NASA, keadaan itu menghasilkan pencemaran udara lebih tinggi dan sukar dikawal berbanding kebakaran biasa, lapor Berita Harian.

“Satelit Aqua merakam imej pada 1 September yang menunjukkan asap menyelubungi sebahagian besar Indonesia dan Malaysia,” menurut NASA.

NASA turut menandakan titik merah pada imej berkenaan bagi menunjukkan anomali haba yang dikesan instrumen Moderate Resolution Imaging Spectroradiometer (MODIS), sebagai petunjuk kepada lokasi kebakaran.

Bagaimanapun, asap tebal dan litupan awan menyukarkan instrumen berkenaan mengesan kebakaran yang berlaku di bawah kanopi hutan serta di bawah tanah.

Indonesia yang memiliki kira-kira 36 peratus kawasan tanah gambut tropika dunia pernah melepaskan 1.75 bilion tan gas rumah hijau ketika kebakaran besar pada 2015 yang berlarutan lebih tiga bulan.

NASA memaklumkan setakat 2 September, kebakaran pada tahun ini yang berlaku kira-kira sebulan sudah melepaskan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau yang direkodkan pada 2015.

Keadaan kebakaran dan jerebu turut menjejaskan aktiviti harian apabila sekolah di sesetengah kawasan beralih kepada pembelajaran jarak jauh, manakala beberapa penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan.

Seorang ahli ekologi dari University of Maryland Centre for Environmental Science berkata usaha menangani kebakaran perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya diberi perhatian ketika fenomena El Niño.

Menurutnya, pendekatan jangka panjang penting khususnya bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut ketika cuaca kering meningkatkan risiko kejadian berulang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.