Bagi seorang ibu yang baru melahirkan, melihat bayi berada dalam keadaan sihat sudah cukup melegakan. Namun, kegembiraan itu boleh bertukar menjadi kebimbangan apabila keputusan saringan menunjukkan sesuatu yang tidak pernah dijangka.
Istilah glukosa-6-fosfat dehidrogenase atau G6PD mungkin kedengaran asing. Persoalan mula bermain di fikiran — adakah anak akan selalu sakit, tumbesarannya terjejas atau perlu menjalani kehidupan dengan pelbagai pantang larang?
Kebimbangan sama pernah dirasai Intan Azrenajwa Maznan apabila anak ketiganya disahkan mengalami kekurangan enzim G6PD sebaik dilahirkan.
Walaupun pernah mendengar mengenainya, Intan Azrenajwa mengakui tidak benar-benar memahami keadaan itu sehingga mendapat penerangan doktor.
“Memang panik. Ketika itu saya baru sahaja melahirkan anak dan mendapat tahu dia kekurangan enzim G6PD.
“Apabila doktor memaklumkan keadaan anak kami, barulah kami mula mencari maklumat dan belajar memahami apa itu G6PD,” katanya ketika berkongsi pengalaman dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Namun, Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan MSU, Dr Syed Nazir M.S. Kadir berkata diagnosis G6PD tidak seharusnya terlalu membimbangkan ibu bapa.

G6PD bukan penyakit berjangkit, sebaliknya keadaan genetik apabila seseorang dilahirkan dengan kekurangan enzim yang berfungsi melindungi sel darah merah daripada kerosakan.
Saringan awal penting supaya ibu bapa mengetahui keadaan bayi dan dapat mengelakkan makanan, ubat atau bahan tertentu yang boleh menjadi pencetus.
“Jika bayi mengalami kekurangan enzim G6PD dan ibu bapa tidak mengetahuinya, komplikasi boleh berlaku apabila mereka terdedah kepada makanan, ubat-ubatan atau bahan tertentu,” katanya.
Apabila terdedah kepada pencetus, sel darah merah boleh pecah lebih cepat daripada biasa dalam proses dikenali sebagai hemolisis.
Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah anak kelihatan pucat, mengalami jaundis atau demam kuning dan air kencing berwarna gelap. Keadaan lebih serius boleh
menyebabkan mereka terlalu lemah, sukar bernafas atau mengalami degupan jantung lebih laju.
Namun, Dr Syed Nazir menegaskan kekurangan enzim tersebut hanya melibatkan sel darah merah dan tidak mengganggu tumbesaran serta perkembangan kanak-kanak.
“G6PD tidak mengganggu perkembangan mereka. Apa yang perlu diberi perhatian hanyalah perkara yang boleh mencetuskan masalah,” katanya.
Mereka masih boleh belajar, bermain, bersukan dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain selagi pencetus dikenal pasti dan dielakkan.
Bagi Intan Azrenajwa, lima hari anaknya ditahan di hospital selepas dilahirkan memberi ruang kepada keluarga memahami perkara yang perlu diberi perhatian.
“Antara yang paling kami ingat ialah kacang parang. Saya terus beritahu keluarga, terutama suami kerana dia memang suka makan kacang parang.
“Selain itu, kami juga elakkan penggunaan ubat gegat dan ubat nyamuk lingkaran di rumah. Semua perkara yang doktor nasihatkan kami cuba patuhi demi keselamatan anak,” katanya.
Pengalaman membesarkan anak itu akhirnya menghilangkan kebimbangan yang pernah menghantui Intan Azrenajwa.
Anaknya kini membesar sihat dan aktif, bermain bersama abang dan kakak serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Pengalaman itu membuatkan Intan Azrenajwa sedar mendapatkan maklumat tepat jauh lebih membantu berbanding membiarkan diri dibelenggu ketakutan.

“Pada mulanya saya memang sangat risau. Saya takut keadaan ini akan menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak.
“Tetapi sekarang saya lihat dia sihat dan aktif seperti biasa,” katanya lagi.
Dr Syed Nazir turut mengingatkan penjagaan bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja. Guru, pengasuh, datuk, nenek dan ahli keluarga juga perlu mengetahui status G6PD kanak-kanak supaya tidak mendedahkan mereka kepada pencetus tanpa sengaja.
Bagi ibu bapa yang baru menerima keputusan saringan itu, diagnosis G6PD mungkin menimbulkan seribu persoalan. Namun, memahami keadaan tersebut adalah langkah pertama untuk meredakan kebimbangan.
Dengan pengetahuan dan penjagaan yang betul, G6PD bukan penghalang untuk seorang anak membesar sihat dan menikmati kehidupan seperti rakan sebayanya.





