SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 200 syarikat setakat ini layak menyertai program Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) yang diperkenalkan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi menggalakkan pembayaran zakat perniagaan secara konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata IKTIRAF merupakan program pengiktirafan oleh Zakat Selangor kepada syarikat yang melaksanakan tanggungjawab zakat perniagaan secara konsisten dan memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Melalui IKTIRAF, syarikat yang layak akan menerima sijil IKTIRAF, e-label zakat dan tersenarai dalam direktori IKTIRAF. Syarikat yang layak akan menerima pengiktirafan mengikut kategori pembayaran zakat, bermula daripada gangsa bagi bayaran RM20,000 dan ke atas sehingga berlian bagi pembayaran RM1 juta dan ke atas.
“Kira-kira 44 syarikat telah disenaraikan sebagai ahli IKTIRAF setakat ini. Syarikat yang menerima pengiktirafan turut dibenarkan menggunakan label IKTIRAF pada produk dan bahan promosi mereka selama 18 bulan. Bila mereka membayar zakat pada tahun depan, secara automatik ia akan diperbaharui,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis hi-tea bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah anjuran Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor yang menghimpunkan kira-kira 200 pengeluar zakat daripada pelbagai latar belakang, termasuk usahawan muda, di Kelab Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, zakat perniagaan mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan berikutan masih belum banyak syarikat menunaikan zakat berkenaan.
“Antara jenis-jenis zakat adalah zakat perniagaan. Zakat perniagaan ini sebenarnya daripada segi statistiknya adalah satu zakat yang kita boleh kembangkan lagi, kita boleh tambah.
“Jadi, tidak banyak syarikat yang membayar zakat perniagaan. Untuk menggalakkan syarikat membayar zakat perniagaan, kita beri satu pengiktirafan,” katanya.
Sementara itu, pengasas dan pemilik D’Herbs Holding Sdn. Bhd. Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menerima pengiktirafan IKTIRAF berkata pembayaran zakat merupakan tanggungjawab umat Islam untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan.

“Kalau kita tengok sebenarnya sebagai seorang umat Islam, kita buat bisnes ini salah satu sebabnya kita nak berjaya dunia dan juga akhirat. Dalam rezeki yang kita ada itu ada rezeki mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya percaya bila kita banyak bersedekah dan juga berzakat, banyak lagi rezeki yang ada. Kita telah bekerjasama dengan Zakat Selangor selama lebih 15 tahun dan IKTIRAF wajar diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap syarikat yang membayar zakat.
“Dengan adanya label seperti ini membolehkan rakyat tahu, lebih cakna serta menyokong syarikat yang membayar zakat di Selangor. Bila kita tengok ada logo pembayar zakat, kita tahu ia adalah produk syarikat yang cakna dan menyokong ekosistem zakat,” katanya.
Aliff turut menyatakan hasrat untuk menjadi antara pembayar zakat terbesar di Selangor setiap tahun selain merealisasikan impian membina masjid, madrasah dan rumah anak yatim pada masa hadapan.
“Setiap tahun saya nak jadi antara pembayar zakat yang terbesar di negeri Selangor, di mana negeri ini adalah tempat saya berniaga. Kalau boleh, sebelum saya meninggal, saya nak ada rumah anak yatim, masjid dan madrasah. Itu impian saya,” katanya.







