SHAH ALAM, 3 SEPT: Tiga peniaga di Pasar Malam Jalan Pelasari, Taman Chi Liung dikenakan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dalam operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Dalam operasi sama di Klang Selatan, Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasa MBDK turut mengeluarkan dua notis kepada peniaga yang gagal menyediakan bekas sampah serta memastikan kebersihan kawasan persekitaran.
Sementara itu, operasi di Klang Utara membabitkan pemeriksaan terhadap lima premis yang didapati gagal memperbaharui lesen perniagaan.

MBDK berkata, hasil pemeriksaan mendapati hanya satu daripada lima premis terbabit masih beroperasi, manakala empat lagi telah ditutup atau berpindah.
“Pemilik premis yang masih beroperasi turut dikenakan dua kompaun kerana didapati menimbulkan kacau ganggu serta halangan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, lima kompaun dikenakan terhadap peniaga dan pemilik premis dalam dua operasi berkenaan.
MBDK berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi syarat pelesenan selain menjaga kebersihan dan ketenteraman awam.







