SERDANG, 2 SEPT: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan 1.87 juta pengunjung serta nilai jualan hampir RM12 juta setakat semalam, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa hari terakhir penganjuran MAHA 2026, susulan pelaksanaan sesi padanan perniagaan dan jualan berskala besar.
“Kehadiran setakat ini amat memuaskan dan segala kesusahan atau ketidaksempurnaan itu memang kami akui ada dan kita cuba membantu sekadar yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung sempena MAHA 2026 di sini hari ini.
Mengulas dakwaan mengenai caj sewaan buggy yang tular di media sosial, Mohamad berkata perkhidmatan itu disediakan kepada syarikat korporat untuk kegunaan mereka sendiri dan tidak melibatkan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan penganjur.
“Yang sewa itu korporat yang mereka tak mahu berkongsi dengan orang, syarikat-syarikat besar. Yang umumnya percuma. Orang awam biasa kita sediakan tram, kita sediakan bas untuk melawat (MAHA 2026),” katanya.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), membabitkan kira-kira 2,000 pempamer dan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung.
Acara dwitahunan itu juga menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian MoU dan memorandum perjanjian (MoA), selain RM58 juta nilai jualan langsung.
-- BERNAMA







