SHAH ALAM, 1 SEP: Badminton dan petanque mempunyai kelebihan strategik untuk dijadikan sukan fokus Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekiranya konsep ‘satu sukan satu PBT’ yang digariskan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dilaksanakan.
Menurut MPAJ, cadangan itu berdasarkan kesesuaian kemudahan sedia ada, tahap penerimaan masyarakat yang tinggi serta kewujudan ekosistem pembangunan bakat yang berpotensi melahirkan atlet sehingga ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Kelebihan yang lebih signifikan ialah kewujudan Ampang Jaya Badminton Club (AJBC) dan beberapa akademi badminton di kawasan Ampang yang menyediakan latihan secara tersusun, dari peringkat asas hingga ke peringkat prestasi tinggi.
“AJBC menyatakan bahawa kelab tersebut mempunyai sekitar 160 pemain yang sedang mengikuti latihan, manakala barisan kejurulatihannya merangkumi bekas pemain kebangsaan serta jurulatih bertauliah Badminton Association of Malaysia (BAM).
“Program pembangunan berprestasi tinggi yang dilaksanakan turut mempunyai rekod dalam membangunkan pemain ke peringkat negeri serta pemain yang mencapai tahap kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada Media Selangor.
Selain itu, katanya Ampang Jaya mempunyai kemudahan sukan komuniti yang luas, contohnya di DUN Lembah Jaya sahaja terdapat 47 lokasi padang permainan yang dilengkapi dengan pelbagai gelanggang dan kemudahan sukan.
Bagi sukan petanque pula, menurut MPAJ ia merupakan antara sukan pembangunan yang turut diberi perhatian oleh pihaknya.
“Antaranya menerusi Kejohanan Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN), pasukan MPAJ telah mengambil bahagian dalam acara petanque dan berjaya meraih tempat ketiga yang menunjukkan sukan petanque mempunyai potensi yang besar untuk terus dibangunkan di kawasan Ampang Jaya.
“Pihak MPAJ melihat terdapat ruang yang luas untuk mengembangkan lagi bakat dan potensi peserta, khususnya dalam kalangan warga Ampang Jaya agar dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut MPAJ, jika dua sukan berkenaan menjadi sukan fokus pihak berkuasa tempatan itu, pihaknya tidak perlu membangunkan ekosistem sukan tersebut daripada peringkat awal kerana kemudahan asas, minat komuniti, kelab, jurulatih serta asas pembangunan atlet telah tersedia.
Jelasnya, MPAJ memfokuskan kepada penyelarasan, pengukuhan dan peluasan ekosistem sedia ada melalui pelaksanaan program pembangunan bakat secara lebih berstruktur serta kerjasama strategik dengan persatuan sukan, sekolah dan akademi tempatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan, malah berpotensi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi dari Ampang Jaya yang mampu mewakili Selangor dan Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Ketika membentangkan RS-2, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi penekanan konsep ‘satu sukan satu PBT’ bagi menggalakkan rakyat Selangor mengamalkan gaya hidup aktif.
Menurut beliau, inisiatif itu akan memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu.







