Keluarga masih berharap pendaki Malaysia hilang di Nepal ditemukan selamat

31 Ogos 2026, 8:16 AM
Keluarga masih berharap pendaki Malaysia hilang di Nepal ditemukan selamat

GEORGE TOWN, 31 OGOS: Keluarga Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi yang dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Rabu masih berharap pendaki itu ditemukan selamat.

Bapanya Noor Hadi yang menetap di Taman Tun Sardon, Gelugor di sini berkata mereka kini berada di Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan berkaitan anaknya yang bekerja di Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang daripada Wisma Putra.

“Semalam ahli keluarga menghadiri pertemuan dengan Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat terkini dan sehingga sekarang kami tidak menerima panggilan telefon atau mesej daripada Muhaimin.

“Saya dan keluarga berharap Muhaimin ditemukan selamat dan kami sentiasa mendoakan keselamatannya selain mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bersama-sama pengurusan masjid,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Hadi berkata Muhammad Muhaimin Azhad berlepas ke Nepal pada minggu lepas dengan dua rakan untuk aktiviti pendakian di Langtang Valley dan sepatutnya pulang ke Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia meneliti bantuan bersesuaian kepada keluarga dua pendaki dari negeri itu yang dilaporkan hilang selepas bencana tersebut.

“Kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan termasuk menghubungi ICU JPM Pulau Pinang kerana dua pendaki terlibat berkhidmat sebagai jurutera di situ untuk melihat bagaimana kita boleh membantu,” katanya semasa ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama hari ini.

Semalam, ahli keluarga dan rakan kepada tiga pendaki Malaysia, Muhammad Muhaimin Azhad, 27, dari Gelugor; Muhammad Zaki Othman, 29, dari Kubang Semang, Bukit Mertajam dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dari Kulim, Kedah dilaporkan hilang susulan bencana itu.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pengguna @emyliatahar berkata mesej terakhir daripada kumpulan itu diterima pada 10.42 pagi (waktu Malaysia) pada hari kejadian 26 Ogos dengan lokasi terakhir mereka dikesan di sekitar kawasan Bhote Koshi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.