Rakyat perlu bina keyakinan hadapi ancaman digital, berita palsu, AI

31 Ogos 2026, 12:00 AM
Rakyat perlu bina keyakinan hadapi ancaman digital, berita palsu, AI
Rakyat perlu bina keyakinan hadapi ancaman digital, berita palsu, AI
Rakyat perlu bina keyakinan hadapi ancaman digital, berita palsu, AI

KAJANG, 31 OGOS: Rakyat perlu membina keyakinan berasaskan ilmu, data dan maklumat yang sahih bagi menghadapi cabaran baharu termasuk penipuan dalam talian, berita palsu dan kecerdasan buatan (AI).

Dato’ Menteri Besar berkata, cabaran terhadap negara kini tidak lagi hanya hadir dalam bentuk fizikal, sebaliknya turut muncul di ruang digital yang boleh mempengaruhi pemikiran dan keselamatan masyarakat.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, penyebaran penipuan dalam talian, berita palsu dan fitnah termasuk sentimen perbezaan boleh mewujudkan ketakutan, kebimbangan serta perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Kalau Malaysia gagal melahirkan negara dan rakyat yang berkeyakinan, kita akan menjadi satu bangsa yang penakut, kita akan menjadi bangsa yang bimbang.

“Ketakutan dan kebimbangan inilah yang menyebabkan negara kita terjajah dan dikuasai pihak lain, disebabkan kedaifan ilmu dan mungkin kegagalan keyakinan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri Selangor di Stadium Kajang, malam tadi.

Amirudin berkata, memasuki usia 70 tahun Malaysia, rakyat perlu diperkasa dengan ilmu pengetahuan, pendidikan, adab dan pemikiran yang matang bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih.

Katanya, perbezaan antara masyarakat pula wajar dijadikan hikmah untuk mengukuhkan perpaduan, bukan dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen yang memisahkan rakyat.

“Keyakinan ini perlu didasari fakta dan data, bukan disandarkan dengan ketakutan dan fitnah serta dibangkitkan dengan rasa jiwa merdeka, membebaskan kita daripada belenggu pemikiran,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi menyediakan generasi masa depan Selangor menghadapi cabaran termasuk perubahan geopolitik, hubungan kaum, perseteruan kuasa baharu serta perkembangan teknologi seperti AI.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyeru rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang kaum untuk bergerak ke hadapan dengan keyakinan terhadap ilmu, adab dan kepercayaan masing-masing.

“Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain. Yang penting semak diri kita sendiri dan kita belajar daripada setiap keturunan bangsa kekuatan ilmu dan pengetahuan.

“Keyakinan inilah yang akan menjadi pembakar dan penyuluh untuk kita menyuluh masa depan negeri Selangor ke arah usia 100 tahun,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.