Kerajaan tambah peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion pada 2027

30 Ogos 2026, 8:42 AM
Kerajaan tambah peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion pada 2027

PUTRAJAYA, 30 OGOS: Kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu akan meliputi semua aliran sekolah keutamaan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

“Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan,” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Anwar berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah mulai bulan depan bagi meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana sekolah.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan keperluan pembaikan prasarana dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak tertangguh sehingga tahun depan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Program AI Untuk Rakyat akan dibuka mulai 1 September kepada 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Belia yang melengkapkan modul ditetapkan, akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan.

“Ia merangkumi ilmu chat AI tempatan yang disahkan...Gemini Enterprise dari Amerika Syarikat serta Wonder Clip dan Mul Run dari negara Cina, semua akan dapat kemudahan,” kata beliau.

Bagi sektor kesihatan awam, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion, bagi memperkukuh kecekapan digital termasuk pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mempercepat proses rawatan, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu pesakit di hospital dan klinik kesihatan awam.

Anwar berkata kerajaan turut bersetuju menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya.

Beliau turut mengumumkan beberapa ikhtiar segera untuk rakyat, termasuk penambahan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.

Anwar berkata pengumuman langkah berkenaan dibuat mengambil kira tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi rakyat, serta tekanan kos terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain keperluan berkaitan prasarana sekolah dan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata meskipun Belanjawan 2027 akan dibentangkan dalam masa terdekat, beberapa langkah perlu dilaksanakan lebih awal, kerana tekanan kos sara hidup dan keperluan perniagaan memerlukan tindakan segera.

“Maka di ambang kemerdekaan ini saya terpaksalah berikhtiar mencari jalan mengambil langkah dan mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara tuan, anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu dengan pengumuman-pengumuman (hari ini),” kata Anwar.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi pelajar, golongan muda serta peniaga kecil dan sederhana, yang kesemuanya berkuat kuasa mulai 1 September 2026.

Enam ikhtiar segera tersebut merangkumi mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, program AI untuk Rakyat terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Selain itu, ikhtiar segera itu turut mencakupi SKMM yang akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan Internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam, serta menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.

Kerajaan juga akan menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion serta memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.