GOMBAK, 30 OGOS: Tindakan menangani isu pendatang dan pelarian perlu diseimbangkan antara penguatkuasaan undang-undang dengan aspek kemanusiaan serta berlandaskan dasar yang jelas, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata negara tidak boleh bertindak mengikut perasaan atau sentimen sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan dalam menangani golongan berkenaan.
“Kalau ikut perasaan setengah orang dan ikut moodnya saja, kita jadi orang yang kejam. Dah macam Nazi pula otak kita. Bahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Rakyat Parlimen Gombak di Dewan Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, isu pelarian sememangnya memberi beban kepada negara, namun kerajaan perlu mempunyai dasar jelas serta mencari titik keseimbangan dengan aspek kemanusiaan.
Beliau berkata, tindakan tegas tetap perlu diambil terhadap pendatang yang terlibat dalam jenayah atau aktiviti menyalahi undang-undang, termasuk membabitkan kediaman tidak sah.
“Yang terlibat dengan jenayah sudah pasti kita ambil tindakan... Tapi kita kena jelas dasarnya.
“Ataupun kerajaan nak tutup pintu semua? Tak boleh pelarian seluruh dunia, termasuk pelarian Syria, pelarian Gaza? Itu tak boleh,” katanya.
Menyentuh isu pelarian di Pasar Borong Selayang, Amirudin menjelaskan kawasan yang tular dalam video sebenarnya berada dalam Wilayah Kuala Lumpur, manakala operasi bersama Jabatan Imigresen pernah dijalankan di pasar harian Selayang.











