SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 100,000 cucuk sate Kajang disediakan sebagai antara tarikan utama Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor di Dataran MPKj @ Stadium Kajang, malam ini.
Sajian ikonik bandar berkenaan menjadi sebahagian daripada pengisian sambutan yang turut menampilkan persembahan artis, perarakan, bazar makanan dan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata pemilihan Kajang sebagai lokasi sambutan tahun ini memberi peluang mengetengahkan identiti dan keunikan daerah berkenaan, khususnya dari aspek gastronomi dan pelancongan.

“Bila sampai di Kajang mesti ada sate. Urus setia kita menyediakan lebih 100,000 cucuk sate Kajang, jadi mesti datang untuk merasainya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Menurutnya, penganjuran sambutan di Kajang turut meneruskan pendekatan membawa acara berkenaan ke daerah berbeza selepas sebelum ini diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Kajang turut mempunyai kelebihan dari segi jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam selain menjadi pintu masuk ke Hulu Langat yang menawarkan pelbagai produk ekopelancongan, agropelancongan dan aktiviti perkhemahan.
Lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir
Chua berkata lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti tempatan.
Menurutnya, penyelarasan trafik menjadi antara aspek utama diberi perhatian bagi memastikan pergerakan pengunjung ke lokasi sambutan berjalan lancar.

Latihan perbarisan dan persembahan turut dilaksanakan sebagai persiapan akhir menjelang acara berkenaan.
Beliau berkata sambutan itu bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya menjadi ruang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan.
“Walaupun latar belakang setiap warga berbeza, kita berlainan agama dan kaum tetapi boleh bersama-sama menikmati kehidupan yang kita ada sekarang.
“Setiap Ambang Kemerdekaan kita boleh berkumpul dengan aman dan damai serta mencipta kenangan manis bersama,” katanya.
Awie, Ramli Sarip gegarkan pentas
Kemeriahan sambutan turut diserikan persembahan artis tanah air termasuk Datuk Awie dan Datuk Ramli Sarip.
Turut dijadualkan membuat persembahan ialah Wani Kayrie, Ukays dan Gerhana Skacinta, selain persembahan tarian tradisional oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Sebanyak 44 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan yang menjadi antara acara utama sambutan.
Pengunjung turut boleh menikmati persembahan Kombo Bandaraya Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), selain mengunjungi bazar makanan, trak makanan, pameran dan pelbagai aktiviti interaktif.
Bazar makanan dan trak makanan mula beroperasi seawal 4 petang, manakala acara pentas secara rasmi bermula 8 malam.
SUB: Sambutan Merdeka rancakkan ekonomi setempat
Penganjuran sambutan di Kajang turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga, usahawan dan pemain industri pelancongan tempatan.
Chua berkata acara berskala besar mampu merancakkan aktiviti ekonomi melalui perbelanjaan pengunjung di bazar makanan, premis perniagaan, sektor pengangkutan dan produk pelancongan.
“Setiap kali kita anjurkan festival atau program berskala besar, tentunya akan memanfaatkan ekonomi tempatan.
“Program Ambang Kemerdekaan ini kita jangka membawa manfaat ekonomi kepada peniaga yang menyertai bazar makanan selain pakej pelancongan yang memberi manfaat kepada pemain industri,” katanya.

Tourism Selangor turut bekerjasama dengan ejen pelancongan bagi menyediakan pakej sekitar Kajang, sekali gus menggalakkan pengunjung meneruskan perjalanan ke destinasi lain khususnya di Hulu Langat.
Menurut Chua, pendekatan itu bertepatan dengan usaha menjadikan acara berskala besar sebagai antara pemacu pelancongan domestik di Selangor.
Pengunjung juga digalak meneroka pusat bandar Kajang dan menyokong perniagaan tempatan sepanjang berada di kawasan berkenaan.
Naik MRT, elak kesesakan ke stadium
Orang ramai yang mahu menghadiri sambutan digalak menggunakan pengangkutan awam khususnya MRT bagi mengurangkan kesesakan di sekitar Stadium Kajang.
Chua berkata lokasi stesen MRT yang berhampiran stadium memudahkan pengunjung ke lokasi sambutan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian.
“Kita lebih menggalakkan semua menggunakan pengangkutan awam. Stesen MRT berdekatan dengan stadium, jadi kita menyeru semua menaiki MRT untuk datang ke Stadium Kajang,” katanya.
Bagi pengunjung yang memilih memandu, tempat letak kenderaan disediakan di kawasan berhampiran, manakala kerjasama polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut digerakkan bagi membantu kelancaran trafik.
Penganjur turut menyediakan pelan kontingensi sekiranya cuaca kurang baik bagi memastikan program dapat diteruskan.
Orang ramai disaran membuat persediaan mengikut keadaan cuaca termasuk membawa payung atau baju hujan.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor berlangsung di Dataran MPKj @ Stadium Kajang hari ini dengan orang ramai digalak hadir lebih awal bagi menikmati keseluruhan pengisian acara.







