Kembar siam Muhammad Rosli meninggal dunia di HCTM

29 Ogos 2026, 7:43 AM
Kembar siam Muhammad Rosli meninggal dunia di HCTM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kembar siam, Muhammad Rosli, 28, disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras pada jam 10.45 pagi tadi.

Perkara itu disahkan abangnya, Ahmad, 28, yang memaklumkan Muhammad dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Ahad lalu selepas mengadu tidak sihat.

“Muhammad baru meninggal dunia jam 10.45 pagi, jenazah masih ada di hospital lagi,” katanya, lapor Berita Harian.

Ahmad berkata buat masa ini beliau belum dapat berkongsi maklumat berhubung lokasi dan masa pengebumian adiknya.

Menurutnya, urusan pengurusan jenazah Muhammad perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum maklumat lanjut mengenai pengebumian dapat dimaklumkan.

Pada Julai 2025, Muhammad menjalani rawatan di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh, Arab Saudi selepas disahkan menghidap kanser pundi kencing.

Sepanjang lapan bulan berada di negara itu, Muhammad menjalani lima pembedahan dan lima sesi kemoterapi.

Beliau kemudiannya disahkan pulih dan menjalani rawatan susulan selepas melalui proses rawatan berkenaan.

Muhammad dan Ahmad pernah menggemparkan negara apabila menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2001.

Pada September 2002, kedua-duanya berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.