BUKIT MERTAJAM, 29 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah menyokong aktiviti perjudian, sebaliknya komited mengekang kegiatan itu menerusi pengurangan jumlah cabutan khas nombor ramalan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebaik menerajui pentadbiran negara, kerajaan telah mengurangkan kekerapan cabutan berkenaan daripada 22 kali kepada hanya lapan kali setahun.
“Orang kata Anwar ini tauke judi. Saya tidak sokong orang judi. Sebelum saya jadi Perdana Menteri, semasa kerajaan dulu perintah, cabutan (nombor ramalan) setahun ialah 22 kali.
“Saya buat secara berperingkat. Saya turunkan daripada 22 kali, jadi lapan kali setahun. Kamu hendak maki saya pasal (sebab) apa?” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.
Anwar berkata tindakan mengurangkan jumlah cabutan berkenaan adalah antara langkah yang diambil bagi membendung kegiatan perjudian dan beliau tidak seharusnya dipersalahkan atas dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan Anwar berhubung keputusan mahkamah tentang isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memperkukuh nilai agama dan akhlak masyarakat menerusi pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan al-Quran serta pendekatan yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.
Beliau mengulangi kenyataan bahawa pembangunan negara tidak seharusnya hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan penghayatan agama dan pembentukan akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Anwar berkata Permatang Pauh sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah politiknya meskipun kini beliau merupakan Ahli Parlimen Tambun di Perak.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau tidak akan sesekali melupakan kawasan berkenaan yang menjadi saksi kepada permulaan khidmatnya sebagai wakil rakyat serta mempunyai nilai sentimental sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan politiknya.
Anwar berkata walaupun beliau kini mewakili kawasan Parlimen Tambun, hubungan dan komitmennya terhadap Permatang Pauh tidak pernah terputus.
“Permatang Pauh inilah yang beri saya peluang dahulu. Saya jadi Perdana Menteri betul, sebab wakil rakyat Tambun, tetapi (segalanya) bermula di Permatang Pauh. Takkan saya lupa.
“Ini kampung halaman kita. Saya pergi Port Dickson (Negeri Sembilan), Tambun beri kekuatan untuk kita, tetapi mulanya di sini, sebab itu kena turun ke Permatang Pauh kerana ini tempat saya, kampung halaman saya,” kata beliau.
Anwar mula memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 dan menyandang kerusi itu hingga 1999, sebelum kembali memenanginya pada 2008 hingga 2015, menjadikan keseluruhan tempoh beliau mewakili kawasan itu kira-kira 24 tahun.
Beliau kemudian memenangi kerusi Parlimen Port Dickson menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2018 sebelum beralih ke Parlimen Tambun dan memenangi kerusi itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.







