SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri mengarahkan semua agensi berkaitan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi jerebu berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan tahap amaran dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, hari ini.
Menurutnya, bagi bacaan IPU antara 101 hingga 150, langkah pencegahan dan kawalan akan dipertingkat termasuk mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu serta memperketat pemantauan kawasan industri dan tapak pelupusan sampah.
“Sekiranya bacaan IPU meningkat kepada antara 151 hingga 200, langkah lebih menyeluruh akan dilaksanakan termasuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah, peningkatan pengurusan operasi serta pemantauan rentas agensi, selain hebahan nasihat kesihatan dan langkah berjaga-jaga kepada orang awam.
“Jika bacaan IPU meningkat antara 201 hingga 300, tindakan lebih tegas akan diambil termasuk penutupan sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak mengikut ketetapan yang berkuat kuasa, disamping langkah penguatkuasaan dan peningkatan kesiapsiagaan agensi berkaitan, serta Ramalan Trajektori Jerebu sehingga 72 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Jamaliah, sekiranya IPU melebihi 300, operasi pengurusan bencana akan diperkukuh dengan penyelarasan lebih rapat antara agensi negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersedia mengedarkan pelitup muka kepada golongan berisiko termasuk warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak sebagai langkah perlindungan tambahan.
“Golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta mereka yang mempunyai penyakit jantung dan penyakit berkaitan sistem pernafasan dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata berdasarkan ramalan kualiti udara Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), kebanyakan daerah di Selangor dijangka mencatat bacaan kualiti udara tidak sihat pada 28 Ogos.
Bagaimanapun, katanya, keadaan diramal bertambah baik pada 29 Ogos sebelum kebanyakan daerah kembali ke tahap baik pada 30 Ogos, tertakluk kepada perubahan cuaca dan keadaan atmosfera semasa.
Jelas beliau, METMalaysia turut memantau keadaan kemarau, tempoh tanpa hujan serta risiko kebakaran hutan bagi membantu agensi berkaitan membuat persediaan dan tindakan awal.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa menyemak bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mematuhi arahan serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Maklumat terkini mengenai kualiti udara boleh diperoleh menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).








