Jerebu: Kes jangkitan saluran pernafasan melonjak hingga 124.4 peratus - KKM

27 Ogos 2026, 11:22 AM
Jerebu: Kes jangkitan saluran pernafasan melonjak hingga 124.4 peratus - KKM

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kes kesihatan berkaitan pernafasan mencatat peningkatan ketara susulan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan dalam negara ketika ini, dengan Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) merekodkan lonjakan sehingga 124.4 peratus.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes berkaitan URTI melonjak kepada 3,674 kes pada minggu epidemiologi (ME) ke 33 berbanding 1,637 kes pada ME 32.

Dalam tempoh sama, kes asma mencatat peningkatan sebanyak 259 peratus kepada 158 kes berbanding 61 kes sebelumnya, manakala kes konjunktivitis menurun daripada 157 kes (ME 32) kepada 146 kes (ME 33).

“Sehubungan itu, KKM terus mempergiatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu setiap hari melalui fasiliti kesihatan sentinel jerebu iaitu 58 klinik kesihatan dan 18 Jabatan Pesakit Luar (JPL) di hospital seluruh negara, bagi menilai kesannya terhadap kesihatan penduduk di kawasan terjejas,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

KKM juga akan meningkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam, termasuk memperkukuh survelan penyakit berkaitan jerebu serta perkhidmatan perubatan di fasiliti kesihatan bagi memastikan pesakit menerima penilaian dan rawatan sewajarnya.

Selain itu, KKM akan memastikan keperluan petugas kesihatan, bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan di hospital serta klinik kesihatan sentiasa mencukupi bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit.

“Kementerian juga akan memastikan sistem pendingin hawa dan pengudaraan di fasiliti kesihatan berfungsi dengan optimum serta mempergiatkan aktiviti pendidikan kesihatan dan komunikasi risiko kepada orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi,” menurut KKM.

KKM juga menasihatkan penduduk terutama golongan anak kecil, penghidap penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya mengelak berada di luar bangunan serta menggunakan pelitup muka bersesuaian.

KKM menasihatkan sebarang penganjuran acara luar yang melibatkan aktiviti fizikal lasak supaya ditangguhkan di samping mengingatkan golongan penghidap penyakit respiratori kronik dan sakit jantung untuk mematuhi jadual pengambilan ubatan dan segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

“KKM akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk dari semasa ke semasa serta menyesuaikan tahap kesiapsiagaan dan respons kesihatan berdasarkan penilaian risiko semasa,” menurut KKM.

Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM menerusi pautan infosihat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.