Banjir Nepal: 17 rakyat Malaysia antara 291 warga asing dilaporkan hilang

26 Ogos 2026, 1:39 PM
Banjir Nepal: 17 rakyat Malaysia antara 291 warga asing dilaporkan hilang

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 17 rakyat Malaysia antara 291 warga asing yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat melanda Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, Nepal, pagi tadi.

Berdasarkan maklumat Lembaga Pelancongan Nepal (NTB), kumpulan rakyat Malaysia itu disenaraikan di bawah agensi Fishtail Tours & Travels bersama tiga warga Amerika Syarikat dan tujuh warga Nepal.

Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal tidak dapat dihubungi, manakala polis serta pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka, menurut kemas kini situasi yang dikeluarkan pada sebelah petang.

“Maklumat itu sedang disahkan dan disemak silang dengan kerjasama agensi pelancongan, pemandu, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Antara warga asing lain yang terputus hubungan termasuk pelancong dari India, Britain, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

NTB bersama Polis Pelancong dan pemain industri pelancongan sedang berusaha mengesahkan lokasi serta keadaan pengembara yang berada atau melalui kawasan terjejas ketika kejadian.

Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan daripada beberapa agensi pelancongan bahawa mereka terputus hubungan dengan 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa ketika banjir kilat melanda.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan kehilangan komunikasi itu dipercayai berpunca secara langsung akibat gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik yang disebabkan oleh bencana berkenaan.

“Pihak Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini sedang dikerahkan oleh kerajaan Nepal bagi mengesan warganegara Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” menurut kementerian itu dalam pemakluman media pada Rabu.

Banjir Sungai Bhote Koshi yang melanda kawasan Rasuwagadhi-Timure turut menghanyutkan beberapa perkampungan serta merosakkan jalan raya, bangunan dan projek hidroelektrik.

NTB turut meminta pelancong supaya kekal tenang, mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi arahan keselamatan rasmi.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian bebas tol 1234, hotline 1144 atau Polis Pelancong Nepal di 9851289445.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.