Shah Alam kawasan terbaharu di Selangor catat IPU tidak sihat

24 Ogos 2026, 7:38 AM
Shah Alam kawasan terbaharu di Selangor catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 24 OGOS: Shah Alam menjadi kawasan terbaharu di Selangor yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan 116 setakat jam 3.30 petang ini.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), perkembangan itu menjadikan tiga kawasan di negeri ini merekodkan kualiti udara tidak sihat selepas Johan Setia mencatat IPU 161 dan Kuala Selangor (106).

Beberapa kawasan lain di Semenanjung turut merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Sungai Petani (155) dan Alor Setar (152) di Kedah, Seri Manjung (124) dan Tasek Ipoh (108) di Perak serta Minden, Pulau Pinang (103).

Sementara itu, Sarawak merekodkan bacaan lebih tinggi dengan IPD Serian mencatat IPU 193, diikuti Kuching (180), Samarahan (174), Sri Aman (156), Bintulu (151) dan Mukah (124).

Selain kawasan berstatus tidak sihat, sebanyak 54 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana setakat jam 3.30 petang.

Tiada kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap baik, sangat tidak sihat atau berbahaya dalam tempoh sama.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus memantau kualiti udara ambien negara menerusi 68 stesen pengawasan bagi mengesan sebarang perubahan ketara yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar.

Data IPU dikemas kini setiap jam bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan kualiti udara semasa.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.