SABAK BERNAM, 24 OGOS: Seramai 89 penternak dan pengusaha akuakultur di daerah ini menerima Bantuan Daya Tahan 2026 bagi meringankan kos makanan ternakan serta memastikan aktiviti pengeluaran dapat diteruskan.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata bantuan membabitkan kategori Insentif Makanan Ternakan dan Insentif Makanan Akuakultur itu diserahkan dalam program Jelajah Pertanian Sabak Bernam di Vetmart Sungai Nibong, Sabtu lepas.
Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap cabaran yang dihadapi pengusaha sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
“Seramai 89 penerima dalam daerah Sabak Bernam menerima insentif ini bagi membantu meringankan kos makanan ternakan dan akuakultur, sekali gus memastikan aktiviti pengeluaran terus berdaya tahan,” katanya menerusi Facebook.
Izham berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sokongan kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan operasi dan pengeluaran.
Usaha itu juga penting bagi memastikan sektor pertanian dan agromakanan negeri terus berkembang serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan Selangor.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sokongan kepada golongan pengusaha sektor pertanian dan agromakanan supaya mereka dapat terus beroperasi dengan lebih baik, meningkatkan pengeluaran serta bersama-sama memperkukuh keterjaminan makanan Negeri Selangor,” katanya.
Pada 16 April lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Fasa Pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Di bawah pakej tersebut, kerajaan negeri antaranya akan mengagihkan baucar Kita Selangor bernilai RM100 kepada 50,000 isi rumah selama enam bulan, selain menyediakan makanan percuma kepada pelajar di 873 sekolah seluruh Selangor bermula Ogos ini.







