SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 10 pengunjung cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan permainan ‘roller coaster’ di sebuah taman tema di Subang Jaya, Subang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, seramai 22 pengunjung termasuk pelancong asing sedang menaiki permainan berkenaan.
“Semua mereka berusia antara 11 hingga 44 tahun. Akibat kemalangan itu, 10 mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun semua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.45 pagi semalam dan siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Mana-mana individu mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100. Identiti akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa kemalangan yang dipercayai berlaku di Taman Tema Sunway Lagoon itu mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.
Menerusi komen di media sosial, seorang pengguna mendakwa suami dan empat anaknya antara enam individu yang berada dalam roller coaster berkenaan ketika kejadian.







