Fadhlina bergelar Datuk Seri, Ziana Zain Datuk antara penerima darjah kebesaran Melaka

24 Ogos 2026, 4:28 AM
Fadhlina bergelar Datuk Seri, Ziana Zain Datuk antara penerima darjah kebesaran Melaka

MELAKA, 24 OGOS: Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran bersempena Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Fadhlina menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima gelaran sama antaranya Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika Majlis Program Jauhlah Ramadan di SMK Sungai Pusu Gombak pada 3 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Selain itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.

Seramai 56 individu menerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut Datuk Mohd Sumali Reduan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Seramai 14 individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Al Hambra Juhar, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suria Kumar A/L Durairaj Johson Paul dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Mej Jen Datuk Sani S Omar.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, ketika lawatan kuratorial semasa pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari di Muzium Telekomunikasi Negara, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Seramai 189 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail, Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhiddin dan penyanyi kelahiran Merlimau, Jasin iaitu Datuk Siti Roziana Zain atau Ziana Zain.

Dalam kategori lain, lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M).

Turut dianugerahkan ialah Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) kepada 151 penerima, Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) (244 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K)(386 penerima), Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M)(161 penerima) dan Pingat Khidmat Lama (P.K.L)(lima penerima).

Penyanyi Ziana Zain ketika latihan bagi rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Perbadanan Adat dan Warisan Selangor (Padat), Shah Alam pada 29 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh memaklumkan keseluruhannya penganugerahan itu mencerminkan penghargaan Melaka terhadap individu yang telah memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan dan kesejahteraan negeri.

Beliau berkata pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.