56 pelajar Selangor ke Mesir, Jordan terima bantuan kewangan

22 Ogos 2026, 8:00 AM
56 pelajar Selangor ke Mesir, Jordan terima bantuan kewangan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Seramai 56 pelajar Selangor yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan menerima bantuan RM2,500 setiap seorang selain mengikuti kursus persediaan sebelum berangkat ke Timur Tengah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, daripada jumlah itu, 51 pelajar akan melanjutkan pengajian ke Mesir manakala lima lagi ke Jordan dalam bidang Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab.

Beliau berkata, pelajar berkenaan dijadual berlepas pada 31 Ogos ini selepas mengikuti Kursus Persediaan Pelajar Negeri Selangor ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Persediaan Pelajar Selangor ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Kursus ini memberi pendedahan mengenai persediaan ke Timur Tengah termasuk kehidupan sebagai pelajar universiti, selain pengisian berkaitan pembinaan jati diri, kecergasan dan ketahanan fizikal.

"Pelajar ini dihantar oleh ibu bapa untuk belajar, jadi belajarlah dengan penuh kesungguhan, komitmen dan ikhtiar. Kita mahu mereka menjaga diri dan memberi tumpuan kepada tujuan utama berada di sana," katanya pada majlis perasmian penutupan kursus berkenaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar Selangor di Timur Tengah termasuk memastikan asrama dan kemudahan penginapan berada dalam keadaan baik serta kondusif untuk pembelajaran.

Menurutnya, aspek penyelenggaraan bangunan termasuk pendawaian dan perabot turut dipantau bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan serta persekitaran yang sesuai sepanjang tempoh pengajian.

"Ketika ini, kira-kira 900 pelajar Selangor masih mengikuti pengajian di Mesir.

"Kemudahan dan persekitaran perlu berada dalam keadaan baik kerana pengajian mereka memerlukan banyak hafazan serta tumpuan. Jadi, kita mahu memastikan ekosistem yang disediakan benar-benar menyokong proses pembelajaran," ujarnya.

Hadif Zaim Harun, 19. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, bakal penuntut pengajian Bahasa Arab di Mesir, Hadif Zaim Harun, 19, berkata bantuan RM2,500 itu amat bermakna memandangkan beliau dan pelajar lain melanjutkan pengajian secara persendirian tanpa tajaan.

"Bantuan ini dapat menampung semula sebahagian kos tiket penerbangan selain digunakan untuk membeli kitab dan membuat persediaan awal apabila tiba di Mesir nanti," katanya.

Nur Afrina Darwishah Sahrizal, 19. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bagi Nur Afrina Darwishah Sahrizal, 19, yang bakal mengikuti pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, kursus berkenaan membantunya meningkatkan kemahiran komunikasi Bahasa Arab selain mempersiapkan diri untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara.

"Kami sangat berterima kasih atas bantuan serta persediaan yang diberikan. Insya-Allah saya mahu fokus belajar, tamat pengajian dalam tempoh empat tahun dan pulang berbakti kepada negara," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.