Yayasan OrphanCare bukan rumah anak yatim, utamakan penjagaan berasaskan keluarga

21 Ogos 2026, 10:00 AM
Yayasan OrphanCare bukan rumah anak yatim, utamakan penjagaan berasaskan keluarga

PETALING JAYA, 21 OGOS: Yayasan OrphanCare mengutamakan penjagaan berasaskan keluarga menerusi proses penempatan atau penyatuan semula kanak-kanak dengan keluarga supaya mereka berpeluang membesar dalam persekitaran kekeluargaan.

Pengerusinya, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata pendekatan itu berlandaskan keperluan kanak-kanak untuk mempunyai sebuah 'rumah' yang dapat memberikan perhatian, penjagaan dan kasih sayang.

“Institusi bukan tempat yang selamat untuk kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan tempat yang dipanggil rumah supaya mereka boleh mendapatkan perhatian, penjagaan dan kasih sayang,” katanya pada sidang media ‘Welcoming Uncle Mike as a Friend of OrphanCare’ di sini, semalam.

Faizah menjelaskan Yayasan OrphanCare bukan rumah anak yatim, sebaliknya berfungsi sebagai pusat transit bagi bayi dan kanak-kanak yang sedang menunggu proses pengangkatan.

Menurutnya, yayasan itu turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses penempatan atau penyatuan semula kanak-kanak dengan keluarga.

"Selain itu, OrphanCare menyediakan Peti Perlindungan Bayi bagi melindungi bayi yang memerlukan tempat selamat," katanya.

Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike bergambar bersama tiga anak angkatnya, Rafie Ahmad Fauzi, Rasyid dan Abdul Rahman di Pangsapuri Damansara Mas, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan berasaskan keluarga dan perlindungan kanak-kanak, Faizah mengumumkan pelantikan Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike sebagai ‘Friend of OrphanCare’ yang pertama.

Katanya, pemilihan itu berdasarkan kisah Uncle Mike sebagai lelaki berbangsa Cina yang menjadi bapa angkat kepada tiga beradik lelaki Melayu beragama Islam.

“Sebagai Rakan OrphanCare, kami berharap Uncle Mike dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan berasaskan keluarga, perlindungan kanak-kanak serta memastikan kanak-kanak mempunyai peluang untuk membesar dalam sebuah keluarga,” katanya.

Faizah turut berharap inisiatif ‘Friends of OrphanCare’ dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendukung usaha yayasan berkenaan.

“Melalui inisiatif ‘Friends of OrphanCare’, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi rakan Yayasan OrphanCare ,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.