MB: SUKMA 2026 berjalan lancar, tiada isu besar jejaskan temasya

21 Ogos 2026, 3:37 AM
MB: SUKMA 2026 berjalan lancar, tiada isu besar jejaskan temasya
MB: SUKMA 2026 berjalan lancar, tiada isu besar jejaskan temasya
MB: SUKMA 2026 berjalan lancar, tiada isu besar jejaskan temasya

SHAH ALAM, 21 OGOS: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berjalan lancar tanpa sebarang isu besar sejak temasya dwitahunan itu membuka tirai secara rasmi pada 15 Ogos lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun beberapa isu dibangkitkan kontinjen terlibat, sebahagian besarnya dapat ditangani tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, sebagaimana biasa, temasya seperti ini pasti ada isu-isu yang dibangkitkan tetapi sebahagian besarnya ia dapat kita tangani dan dapat kita uruskan.

“Walaupun tidak mungkin 100 peratus, tetapi paling tidak kita dapat menangani ataupun menguruskan hal yang berbangkit di temasya Selangor 2026 dan Alhamdulillah kita sudah masuk di tiga, empat hari terakhir… saya percaya kemeriahan akan terus bergetar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sarapan bersama Ketua Kontinjen SUKMA 2026 di sini hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ditemui media selepas bersarapan bersama Ketua Kontinven SUKMA di Hotel Grand Mercure Shah Alam pada 21 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Turut hadir EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi serta Ketua Kontinjen Selangor Abbas Salimmi Che Adzmi.

Menurut Amirudin, antara cabaran yang dihadapi ialah kesesakan lalu lintas memandangkan sebahagian venue pertandingan terletak di pusat bandar dan kawasan yang sibuk terutama pada waktu puncak.

“Biasanya di Selangor antara isunya kesesakan. Kita ucap terima kasih kepada pasukan trafik yang sedikit sebanyak membantu kerana sebahagian daripada lokasi-lokasi itu berada di kawasan pusat bandar berhampiran dengan kawasan-kawasan sesak dan terutamanya waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata isu berkenaan turut ditangani menerusi penyusunan jadual pertandingan yang lebih fleksibel bagi memastikan perjalanan kontinjen ke venue tidak terjejas.

“Setakat ini, tiada lagi kejadian terlewat atau terpaksa DQ (disqualified) ataupun dibatalkan kerana kelewatan,” katanya.

Mengulas penginapan atlet, Amirudin berkata Selangor memperkenalkan konsep subsidi tempat tinggal berbanding menyediakan sebuah perkampungan sukan berpusat.

Menurutnya, pendekatan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan, namun pada masa sama memberi fleksibiliti kepada kontinjen memilih penginapan yang sesuai dengan lokasi pertandingan.

“Baiknya mungkin kita tidak menguruskan satu perkampungan sukan yang besar yang mungkin melibatkan ramai atlet dan juga mungkin ada isu-isu berbangkit di dalamnya tetapi dalam masa sama kita terpaksa 'scattered' sikit kedudukan atlet-atlet.

“Tetapi kadang-kadang mereka boleh memilih lokasi yang lebih sesuai, boleh memilih lokasi di pertengahan antara venue-venue tertentu dan ada fleksibiliti dan itu saya percaya memberikan sedikit kelebihan,” katanya.

Penyokong Selangor Ketika temasya SUKMA 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 20 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Amirudin memberi jaminan aspek profesionalisme kekal menjadi keutamaan sepanjang penganjuran temasya termasuk dalam acara yang melibatkan penilaian subjektif.

“Isu lain melibatkan tidak puas hati dalam acara tertentu atau paling tidak acara-acara subjektif. Kita dapati sangat kurang teguran ataupun kompelin daripada pihak-pihak tertentu, itu pun semalam Selangor yang kompelin dalam acara memanah dan kita tak menang bantahan.

“Alhamdulillah saya percaya dalam konteks sukan subjektif yang selalu dianggap melebihkan tuan rumah itu saya boleh katakan tidak berlaku di Selangor dan kita dapat menjamin profesionalisme pengurusan sukan yang baik,” katanya.

Untuk rekod, setakat jam 10 malam, Selangor mendahului kedudukan dengan 42 pingat emas, 42 perak dan 30 gangsa, menjadikan keseluruhan 114 pingat.

SUKMA ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, membabitkan 474 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan di 52 venue merentasi sembilan daerah.

Para SUKMA pula dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling dan Klang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.