Akademi bola sepak MBDK perkasa bakat akar umbi

20 Ogos 2026, 7:44 AM
Akademi bola sepak MBDK perkasa bakat akar umbi
Akademi bola sepak MBDK perkasa bakat akar umbi
Akademi bola sepak MBDK perkasa bakat akar umbi
Akademi bola sepak MBDK perkasa bakat akar umbi

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pembangunan bola sepak dalam kalangan komuniti daerah Klang akan diperkasa bagi memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu selain membudayakan gaya hidup sihat.

Sebagai langkah awal, Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menubuhkan Akademi Bola Sepak Akar Umbi pada Julai lalu untuk dijadikan platform pengembangan bakat.

Menurutnya, akademi melibatkan peserta kategori U8 hingga U18 dipimpin bekas kapten skuad Gergasi Merah era 1990-an selaku ketua jurulatih, Ismail Ibrahim yang akan dibantu bekas pemain Selangor, Hairil Zamri A Rashid.

“Penubuhan akademi ini beri peluang kepada komuniti setempat dan peserta dari Klang untuk mengikuti latihan bola sepak secara lebih tersusun, sistematik dan berterusan bawah bimbingan barisan jurulatih berpengalaman.

“Setakat ini, hampir 200 pemain telah berdaftar malah turut menerima permohonan dari luar Klang. Sambutan menggalakkan ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap usaha MBDK untuk bangunkan bakat bola sepak akar umbi,” katanya kepada Media Selangor.

Abd Hamid berkata semua peserta menjalani latihan merangkumi aspek teknikal, taktikal, kecergasan fizikal, kemahiran individu, kerja berpasukan, disiplin serta persediaan mental bagi memastikan pemain bersedia menghadapi pertandingan.

Katanya, latihan berlangsung dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis di Arena Legacy Pandamaran, bermula dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, dengan setiap kategori dipimpin dua jurulatih berpengalaman.

“Mereka bertanggungjawab mengendalikan latihan, pembangunan kemahiran, taktikal, kecergasan serta persediaan pemain menghadapi pertandingan.

“Akademi turut mempunyai dua jurulatih khusus melatih penjaga gawang bagi memberikan latihan dan perhatian khusus terhadap teknik dan kemahiran,” katanya.

Ketika membentang Rancangan Selangor Kedua (RS-2) awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan pentadbiran akan meneruskan momentum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) melalui penekanan 'satu sukan satu PBT' bagi menggalakkan rakyat Selangor mengamalkan gaya hidup aktif.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.