SHAH ALAM, 21 OGOS: Langit yang bertukar kelabu dan pandangan yang semakin kabur mungkin menjadi petanda paling jelas apabila jerebu melanda.
Namun, ancaman sebenar pencemaran udara bukan hanya apa yang dapat dilihat dengan mata kasar.
Batuk, pedih mata dan sakit tekak sering dianggap kesan biasa ketika jerebu.
Di sebalik gejala itu, zarah pencemar yang sangat halus boleh memasuki jauh ke dalam sistem pernafasan dan memberi kesan lebih serius, khususnya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Ketua Jabatan Kecemasan KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Prof Madya (K) Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata antara bahan pencemar yang perlu diberi perhatian ialah zarah terampai atau 'particulate matter' (PM), khususnya PM2.5.
“PM2.5 ini sangat kecil. Apabila zarah terlalu kecil, ia mudah masuk lebih jauh kerana boleh melepasi sistem tapisan semula jadi badan.
“Bahagian yang paling awal terjejas biasanya mata dan saluran pernafasan termasuk hidung, mulut serta tekak.
"Namun, disebabkan saiznya yang sangat kecil, ia boleh masuk lebih jauh dan merengsakan bahagian dalaman,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Justeru, kesan jerebu tidak seharusnya diukur berdasarkan tahap ketidakselesaan yang dirasai semata-mata. Pendedahan kepada bahan pencemar turut berpotensi mencetuskan keradangan dalam tubuh dan memberi kesan kesihatan lebih luas jika berlaku secara berterusan.
PM2.5 terlalu halus, mampu masuk jauh ke paru-paru
Jika sehelai rambut manusia mempunyai diameter kira-kira 70 mikrometer, PM2.5 pula hanya berukuran sekitar 2.5 mikrometer.
Perbezaan saiz itu menggambarkan betapa halusnya zarah berkenaan sehingga mekanisme pertahanan semula jadi tubuh mungkin tidak mampu menghalangnya daripada memasuki bahagian lebih dalam sistem pernafasan.
Menurut Dr Shahrul Nizam, zarah lebih besar lazimnya boleh diperangkap pada bahagian hidung, termasuk melalui bulu hidung dan kelembapan dalam rongga berkenaan.

Namun, keadaan berbeza bagi PM2.5.
“Semakin kecil zarah itu, semakin mudah ia terlepas daripada saringan badan dan masuk lebih jauh ke dalam sistem pernafasan.
“Sebab itu apabila bercakap mengenai PM2.5, kita bukan hanya melihat kesan seperti mata pedih, sakit tekak atau batuk tetapi kesannya boleh melibatkan bahagian lebih dalam,” katanya.
Hakikat itu menjadikan jerebu lebih daripada sekadar gangguan terhadap aktiviti harian. Gejala ringan yang muncul pada peringkat awal juga tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kesan pencemaran udara terhadap tubuh.
Asma, penyakit paru-paru boleh bertambah teruk
Tidak semua individu bertindak balas dengan cara sama apabila terdedah kepada jerebu.
Bagi individu sihat, tempoh tertentu di luar mungkin hanya menyebabkan ketidakselesaan.
Bagaimanapun, mereka yang mempunyai penyakit sedia ada terutama asma dan masalah paru-paru boleh mengalami kesan dalam tempoh lebih singkat bergantung kepada tahap kesihatan serta keterukan jerebu.
Keadaan saluran pernafasan yang sudah terjejas menyebabkan golongan itu lebih mudah mengalami serangan apabila terdedah kepada udara tercemar.
“Apabila ada jerebu, mereka lebih mudah mendapat serangan dan serangan itu juga boleh menjadi lebih teruk.
“Penyakit yang melibatkan pernafasan perlu diambil berat kerana apabila seseorang tidak mendapat oksigen mencukupi, ia boleh menjejaskan organ penting seperti otak dan jantung,” katanya.
Risiko itu bukan hanya membabitkan pesakit asma atau individu dengan masalah paru-paru, kanak-kanak dan warga emas turut memerlukan perhatian lebih kerana perbezaan fisiologi serta tahap sistem imun.
Kanak-kanak mempunyai sistem imun yang masih berkembang, manakala warga emas pula mungkin mempunyai daya tahan tubuh yang semakin berkurangan selain berdepan penyakit sedia ada.
Sukar bercakap, tercungap jangan tunggu dapatkan rawatan
Persoalannya, bilakah batuk atau sesak nafas yang dialami tidak lagi boleh dianggap biasa?
Antara petunjuk paling mudah diperhatikan ialah perubahan keupayaan seseorang untuk bercakap dan bernafas seperti biasa.
Menurut Dr Shahrul Nizam, individu yang mengalami masalah pernafasan serius mungkin tidak lagi mampu bercakap dalam ayat penuh kerana perlu berhenti untuk mengambil nafas.
“Kalau seseorang sudah tidak boleh bercakap dengan lancar atau ayatnya terhenti-henti, itu antara tanda dia mempunyai masalah pernafasan,” katanya.
Kesukaran untuk duduk atau berbaring dengan selesa, kurang makan dan minum, terlalu lemah serta perubahan tahap kesedaran juga tidak harus dipandang ringan.
Malah, perubahan warna tubuh menjadi pucat atau kebiruan boleh menjadi petanda keadaan semakin serius.
“Apabila seseorang tidak boleh makan atau minum seperti biasa, terlalu letih, mengalami perubahan tahap kesedaran atau tubuh menjadi pucat sehingga kebiruan, itu antara tanda bahaya yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Bagi bayi dan kanak-kanak yang belum mampu memberitahu keadaan mereka, pemerhatian ibu bapa menjadi lebih penting.

Perubahan pola minum, kekerapan membuang air kecil, batuk teruk dan pernafasan tercungap-cungap boleh menjadi petunjuk bahawa keadaan mereka memerlukan pemeriksaan.
Bayi yang mengalami kesukaran bernafas serta tidak mampu makan atau minum perlu segera dibawa ke hospital kerana mungkin memerlukan bantuan oksigen atau cecair.
Pekerja luar juga golongan berisiko ketika jerebu
Di sebalik nasihat supaya masyarakat mengurangkan aktiviti luar ketika jerebu, terdapat kelompok yang tidak mempunyai banyak pilihan.
Penghantar makanan, pekerja pembinaan, penunggang motosikal dan mereka yang tugas hariannya memerlukan tempoh panjang di luar berdepan pendedahan secara langsung terhadap udara tercemar.
“Mereka juga berisiko kerana memang berada di luar dalam tempoh yang lama. Jadi mereka sebenarnya lebih terdedah kepada bahaya jerebu,” katanya.
Bagi kelompok itu, perlindungan diri menjadi benteng penting. Pelitup muka N95 atau KN95 boleh digunakan, namun keberkesanannya bergantung kepada cara pemakaian.
Saiz pelitup perlu sesuai dengan wajah dan dipastikan melekap kemas tanpa ruang yang membolehkan udara masuk dari bahagian tepi.
Selepas seharian berada di luar, mereka juga digalakkan mandi dan membersihkan badan bagi menyingkirkan bahan pencemar yang mungkin melekat pada tubuh.
Dalam masa sama, tahap kesihatan perlu sentiasa dijaga melalui pemakanan seimbang dan pengurusan penyakit sedia ada seperti diabetes atau tekanan darah tinggi.
Pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga penting supaya aktiviti harian dapat disesuaikan mengikut keadaan semasa.
Bagi Dr Shahrul Nizam, masyarakat tidak perlu panik apabila jerebu melanda, tetapi perlu lebih peka terhadap perubahan kualiti udara dan kesihatan diri.
“Sentiasa dapatkan maklumat terkini, gunakan perlindungan yang sesuai dan kenal pasti gejala.
"Jangan ambil mudah apabila gejala mula timbul kerana lebih mudah untuk merawatnya pada peringkat awal berbanding apabila keadaan sudah menjadi lebih teruk,” katanya.
Jerebu mungkin datang dan pergi, namun zarah halus yang tidak kelihatan dengan mata kasar tetap membawa risiko.
Justeru, memahami tanda awal, mengenali golongan berisiko dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya menjadi kunci bagi mengurangkan kesannya terhadap kesihatan.










