SHAH ALAM, 17 OGOS: Musim durian yang rancak di Malaysia tahun ini memberi peluang kepada penggemar menikmati ‘raja buah-buahan’ itu pada harga lebih berpatutan susulan lambakan bekalan di pasaran.
Namun, di sebalik peluang menikmati durian pada harga lebih rendah, orang ramai dinasihatkan supaya mengawal pengambilan dan tidak menjadikan musim buah berkenaan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan.
Pakar pemakanan Thaneswary Rajasekharan berkata durian mempunyai pelbagai khasiat, antaranya vitamin C dan fosforus, namun pengambilannya perlu dilakukan secara sederhana.
“Durian memang banyak khasiat. Contohnya, ada vitamin C dan fosforus.
“Lebih kurang 100 gram atau tiga hingga empat ulas sudah mencukupi untuk mendapatkan khasiatnya. Kita tidak perlu makan terlalu banyak,” katanya kepada Media Selangor.

Berdasarkan data Komposisi Makanan Malaysia, setiap 100 gram durian segar mengandungi kira-kira 23.3 miligram vitamin C, 44 miligram fosforus dan 27.9 gram karbohidrat.
Menurut Thaneswary, kandungan karbohidrat dan gula dalam durian perlu diberi perhatian, khususnya oleh individu yang menghidap diabetes.
“Kalau ada diabetes, memang kena lebih berhati-hati sebab durian ada gula. Kalau makan terlalu banyak, paras gula dalam darah boleh meningkat.
“Penghidap diabetes tidak semestinya perlu mengelakkan durian sepenuhnya, tetapi jumlah yang diambil perlu dikawal mengikut keadaan kesihatan dan pengambilan makanan harian,” katanya.
Beliau berkata kawalan pengambilan juga penting kerana sesetengah pengguna cenderung menikmati durian dalam kuantiti yang banyak ketika musimnya, lebih-lebih lagi apabila harga buah berkenaan rendah.
“Masalahnya, orang kita kadang-kadang makan sampai empat atau lima biji durian. Kalau harga murah, lagi banyak kita beli.
“Jadi, kita kena kawal berapa banyak yang kita makan,” katanya.
Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu, termasuk penyakit jantung atau hati, Thaneswary menasihatkan mereka supaya mendapatkan pandangan profesional kesihatan berhubung jumlah durian yang sesuai diambil.
“Kalau memang sudah ada masalah kesihatan, kita kena lebih berhati-hati. Jangan ikut orang lain makan banyak sebab keadaan badan setiap orang berbeza,” katanya.

Mengulas kepercayaan tradisional bahawa durian merupakan makanan yang ‘panas’ atau ‘berbahang’, Thaneswary berkata pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan sesetengah individu merasa tidak selesa.
“Kalau badan memang sensitif dengan makanan yang dianggap panas, bila makan durian terlalu banyak, mungkin badan rasa tidak selesa. Jadi, jangan berlebihan,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan pengguna supaya tidak mengambil durian secara berlebihan bersama makanan dan minuman berat, terutama yang tinggi karbohidrat.
“Minuman yang tinggi karbohidrat, susu atau daging merah jangan ambil dengan durian sebab perut boleh rasa tidak selesa, kembung dan susah hendak hadam,” katanya.
Menurutnya, pengambilan pelbagai makanan secara berlebihan dalam satu-satu masa boleh meningkatkan rasa terlalu kenyang, kembung dan ketidakselesaan penghadaman.
Dalam pada itu, Thaneswary berkata pengguna tidak perlu terikut-ikut untuk membeli pelbagai jenis durian yang ditawarkan di pasaran.
Malaysia mempunyai kira-kira 200 varieti durian yang ditanam, dengan Musang King dan Black Thorn antara varieti yang paling dikenali pengguna.
“Dekat Malaysia memang banyak jenis durian. Jadi, pilih saja jenis yang kita suka. Tidak perlu rasa macam semua jenis kena beli,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengguna membeli mengikut keperluan keluarga dan jumlah individu yang akan menikmati buah berkenaan bagi mengelakkan pembelian berlebihan.
“Kalau keluarga ada empat orang, beli ikut berapa yang boleh makan. Jangan sebab nampak murah, kita beli banyak, akhirnya makan terlalu banyak pula,” katanya.

Menurutnya, musim durian wajar dinikmati secara sederhana tanpa menjadikan lambakan bekalan dan harga yang lebih rendah sebagai alasan untuk mengambilnya secara berlebihan.
“Durian memang sedap dan memang ramai orang suka. Tetapi kita kena tahu bila hendak berhenti. Makan boleh, tetapi kena kawal.
“Tidak salah hendak makan durian. Cuma jangan berlebihan. Pilih jenis yang kita suka, beli ikut keperluan dan yang paling penting, kawal berapa banyak kita makan,” katanya.







