SPRM tahan dua polis peronda disyaki minta, terima rasuah RM14,000

17 Ogos 2026, 12:00 AM
SPRM tahan dua polis peronda disyaki minta, terima rasuah RM14,000

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seorang anggota dan pegawai polis peronda ditahan kerana disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM14,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas beberapa pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Menurut sumber, anggota lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, lapor Berita Harian.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi pegawai polis peronda dari Januari hingga Julai 2026.

"Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek," kata sumber itu.

Lelaki itu kini direman lima hari hingga 20 Ogos selepas Majistret Ellyna Othman membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi semalam.

Sementara itu, pegawai polis peronda lelaki berusia lingkungan 30-an yang ditahan pada 11 Ogos sebelum ini disambung reman empat hari hingga 19 Ogos.

Perintah lanjutan reman dikeluarkan Majistret sama pada semalam selepas permohonan reman pertama ke atas pegawai polis tersebut berakhir hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.