Mansuh AUKU: Pensyarah gesa autonomi universiti, kebebasan akademik diperkukuh

15 Ogos 2026, 9:08 AM
Mansuh AUKU: Pensyarah gesa autonomi universiti, kebebasan akademik diperkukuh

KOTA KINABALU, 15 OGOS: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) hanya akan memberi makna sekiranya langkah itu disusuli perubahan budaya pentadbiran universiti, termasuk memperkukuh autonomi institusi serta menjamin kebebasan akademik dan perbezaan pandangan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata kebebasan akademik perlu disokong dengan garis panduan yang jelas bagi membezakan antara kebebasan ilmiah dan tanggungjawab.

“Kebebasan akademik perlu dijamin melalui autonomi universiti, perlindungan terhadap perbezaan pandangan serta garis panduan jelas yang membezakan kebebasan ilmiah, aktivisme mahasiswa serta pelanggaran disiplin dalam suasana demokratik yang matang dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mahasiswa sewajarnya mempunyai ruang untuk mengkritik kerajaan, dasar universiti atau pemimpin politik secara berfakta dan beradab tanpa rasa takut terhadap tindakan tatatertib, namun kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab termasuk menghormati undang-undang, menjaga ketenteraman serta mengelak fitnah, hasutan dan ancaman terhadap keselamatan.

Romzi berkata apabila AUKU dimansuhkan, batas kebebasan mahasiswa tidak seharusnya ditentukan secara sepihak oleh kerajaan atau pentadbiran universiti, sebaliknya perlu berasaskan undang-undang yang jelas, prinsip hak asasi dan peraturan akademik yang munasabah.

Beliau berkata aspek semak dan imbang perlu diperkukuh menerusi badan tadbir urus universiti yang benar-benar berautonomi, prosedur rayuan bebas serta mekanisme aduan yang telus selain penglibatan wakil mahasiswa penting bagi memastikan keadilan serta akauntabiliti terpelihara.

“Pemansuhan AUKU tidak semestinya bermaksud kebebasan politik tanpa batas. Mahasiswa wajar diberi ruang berpolitik di dalam dan luar kampus tetapi tertakluk kepada undang-undang umum, peraturan keselamatan dan prinsip akademik. Yang penting, batas tersebut mesti munasabah, jelas, konsisten dan tidak digunakan untuk membungkam kritikan demi mematangkan demokrasi negara,” katanya.

Bagi penganalisis politik UMS Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad, pemansuhan AUKU secara menyeluruh berpotensi merungkai struktur pentadbiran yang bersifat autokratik dan selama ini dilihat mengekang kebebasan bersuara golongan tertentu khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata keberkesanan langkah itu amat bergantung pada penggubalan akta baharu berkaitan universiti yang telus dan bukannya sekadar menukar jenama undang-undang lama (AUKU), menjamin kebebasan akademik pensyarah dan mahasiswa, selain kerajaan perlu memisahkan kuasa eksekutif daripada pelantikan kepimpinan tertinggi universiti.

Syahruddin berkata autonomi penuh perlu diberikan kepada senat universiti dalam mengurus tadbir hal ehwal akademik, penyelidikan dan penerbitan wacana ilmiah tanpa kawalan politik, selain jaminan keselamatan kerjaya akademik serta hak menyuarakan pandangan berasaskan fakta dimaktubkan secara bertulis.

“Pendekatan secara holistik ini perlu bagi memastikan kebebasan intelek kekal subur dan mekar dalam ekosistem kampus, bukannya sekadar memberi tumpuan sempit kepada kebebasan berpolitik di kampus semata-mata,” katanya.

Syahruddin berkata kerajaan dan pentadbiran universiti juga perlu meminda statut universiti bagi memastikan sebarang perbezaan pandangan bukan lagi dinilai dengan hukuman tatatertib sebaliknya menerusi wacana intelek.

Beliau berkata jaminan perlindungan undang-undang yang saksama penting bagi membentuk generasi mahasiswa yang matang, berani berfikir secara kritis dan berupaya menyumbang idea konstruktif demi pembangunan negara.

Dalam pada itu, bagi memastikan gerakan mahasiswa bebas daripada campur tangan politik kerajaan mahupun pentadbiran universiti, Syahruddin berkata mekanisme semak dan imbang yang komprehensif, jelas dan berfokus perlu diwujudkan di peringkat universiti dan kementerian.

“Langkah utama ialah penubuhan Kesatuan Mahasiswa yang berasingan secara undang-undang dan kewangan daripada pengurusan universiti, diuruskan sepenuhnya oleh pelajar melalui pilihan raya telus,” katanya yang mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan “Tribunal Bebas Mahasiswa” atau “Ombudsman Pengajian Tinggi” khusus bagi mengendali dan menyelesaikan sebarang pertikaian tatatertib secara adil tanpa prasangka.

Bagi penuntut Fakulti Perhutanan Tropika UMS Sharmina Ibno Hasim, 21, pemansuhan AUKU merupakan satu perkembangan yang membolehkan mahasiswa mengutarakan pandangan masing-masing secara lebih terbuka.

“Sebelum ini kita sebagai pelajar terikat dengan akta berkenaan dan saya berharap selepas ini kami dapat menyuarakan pandangan untuk memastikan sistem pendidikan di negara kita terus berkembang,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Sharoll Swine Edward, 22, berkata pengumuman itu amat dialu-alukan terutamanya dalam kalangan mahasiswa yang lantang bersuara mengenai pelbagai isu sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita harap pemansuhan akta ini (AUKU) tidak disalah guna oleh mahasiswa. Jangan ada pelajar yang mengambil kesempatan untuk mengutarakan pandangan yang tidak sesuai selepas akta ini dimansuhkan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet, Rabu depan.

Susulan pengumuman Perdana Menteri, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Beliau berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda pembentukan One Higher Education Act yang dilancarkan pada Januari lepas.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.