KAPAR, 15 OGOS: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sentosa Kapar kembali mengaktifkan kegiatan komuniti menerusi penganjuran Hari Keluarga bagi mengeratkan hubungan penduduk serta memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu.
Pengerusi KRT Taman Sentosa Kapar, Azmi Ahmad berkata program julung kali dianjurkan itu disertai kira-kira 50 hingga 60 penduduk, selain ketua kampung, pengerusi KRT sekitar dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Kapar.
Katanya, penganjuran berkenaan menjadi langkah awal untuk menghidupkan semula aktiviti KRT yang sebelum ini kurang aktif.
“Taman Sentosa dibangunkan sekitar 1980 hingga 1981 dan kini mempunyai kira-kira 700 rumah dengan jumlah penduduk bersama kawasan kejiranan sekitar melebihi 1,000 orang.
“Saya mahu mengeratkan hubungan antara penduduk dengan KRT. Walaupun sambutan kali ini sederhana, saya yakin kita boleh melaksanakan lebih banyak aktiviti pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Azmi, kawasan itu berpotensi dijadikan hab komuniti, khususnya untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan yang dapat memberi manfaat kepada penduduk termasuk kanak-kanak.
Dalam pada itu, KRT turut merancang penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur, termasuk taman permainan serta sistem perparitan.
Katanya, bakul makanan turut disumbangkan kepada penduduk pada program berkenaan, manakala KRT akan mengenal pasti golongan B40, ibu tunggal dan anak yatim untuk dipertimbangkan menerima bantuan kerajaan negeri.
Timbalan Pengerusi KRT Taman Sentosa, Rajabalan berkata Taman Sentosa antara kawasan perumahan terawal di Kapar dan dihuni masyarakat Melayu, India serta Cina.
“Kita mahu mengukuhkan hubungan antara penduduk dan menjadikan kawasan ini sebagai hab aktiviti komuniti.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat mengenal pasti keperluan penduduk selain membawa isu berkaitan kemudahan awam dan infrastruktur kepada pihak berwajib,” katanya.
Sementara itu, wakil rakyat DUN Meru, Mariam Abdul Rashid yang hadir pada program berkenaan dimaklumkan mengenai permohonan KRT untuk menaik taraf kawasan padang permainan sedia ada dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Mariam berkata, beliau akan memberi perhatian terhadap keperluan berkenaan, termasuk isu sistem saliran dan kemudahan padang di kawasan Taman Sentosa.
“Saya akan memantau isu infrastruktur di kawasan ini dan memastikan ahli majlis memainkan peranan dalam menangani masalah sistem saliran serta kemudahan padang yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf,” katanya.
Beliau turut memaklumkan perancangan mengadakan perjumpaan bersama semua pengerusi KRT di kawasan Kapar bagi mengukuhkan perpaduan komuniti menerusi pelbagai program kemasyarakatan.
Penganjuran Hari Keluarga itu diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak aktiviti komuniti di Taman Sentosa Kapar, sekali gus memperkukuh peranan KRT sebagai penghubung antara penduduk, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.







