China, Thailand bongkar sindiket penipuan kad kredit, sembilan suspek ditahan

13 Ogos 2026, 12:30 PM
China, Thailand bongkar sindiket penipuan kad kredit, sembilan suspek ditahan

BEIJING, 13 OGOS: Polis China dan Thailand baru-baru ini bekerjasama dalam membongkar sindiket penipuan kad kredit rentas sempadan yang menyasarkan warga China dengan menahan sembilan suspek, menurut Kementerian Keselamatan Awam (MPS) pada Khamis, lapor Xinhua.

Operasi yang dijalankan MPS dengan ibu pejabat Polis Diraja Thailand itu membawa kepada penahanan empat warga China dan lima warga Thailand, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pihak menyelaraskan masa untuk menjalankan tindakan keras dan membongkar beberapa tapak jenayah serta menahan suspek, menurut MPS.

Menurut kenyataan itu, polis China membongkar kumpulan jenayah rentas negara pada 2025 dan segera berkongsi maklumat mengenai kes tersebut dengan rakan sejawat mereka di Thailand serta memohon bantuan mereka.

Siasatan mendapati dua daripada suspek telah bersubahat, dengan seorang didakwa mengendalikan sebuah kedai di Thailand sebagai pemain bahagian hadapan untuk mendapatkan maklumat kad kredit mangsa secara haram.

Sementara seorang lagi didakwa kerana menggunakan data yang dicuri untuk membuat kad palsu dan merekrut individu untuk menggunakan kad tersebut bagi transaksi penipuan dan mencuci hasil haram demi mengaut keuntungan.

Pihak berkuasa setakat ini telah mengenal pasti kerugian kewangan lebih 5 juta yuan (kira-kira US$736,500).

Operasi itu menandakan tindakan penguatkuasaan undang-undang bersama yang diselaraskan oleh polis dari kedua-dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyasarkan jenayah ekonomi, menurut MPS.

Ia menambah kedua-dua pihak akan meneroka rancangan untuk mewujudkan mekanisme kerjasama tetap dalam memerangi jenayah ekonomi rentas sempadan menerusi langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang termasuk perkongsian maklumat, pertukaran kepakaran, analisis bersama, pengesanan suspek dan pemulihan hasil haram.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.