SHAH ALAM, 13 OGOS: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sebulat suara meluluskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) selepas usul berkenaan dibahaskan kira-kira 40 Ahli Dewan Negeri, termasuk wakil pembangkang.
Timbalan Speaker DNS Mohd Kamri Kamaruddin berkata kelulusan itu menjadikan RS-2 sebagai dokumen dasar pembangunan negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekali gus menjadi rujukan semua pihak dalam menentukan hala tuju pembangunan Selangor.
“RS-2 2026-2030 menjadi kompas rujukan semua agensi Persekutuan dan negeri termasuk jabatan, pihak berkuasa tempatan, anak syarikat dan pemegang taruh untuk menyempurnakan agenda pembangunan negeri.
“Bahawa dalam meluluskannya, Dewan menyeru semua pihak menggembeling komitmen untuk menjadikan Selangor aspirasi Negeri Model ASEAN bagi membina ekonomi berasaskan prinsip keadilan dan menjamin kualiti hidup menjelang 2030,” katanya.
Usul berkenaan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu dan dibahaskan kira-kira 40 Ahli Dewan Negeri sebelum diluluskan hari ini.
RS-2 menggariskan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif yang meliputi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan, keseimbangan antara daerah, kelestarian alam sekitar serta kecekapan pentadbiran.
Bagi sektor ekonomi, Selangor menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.1 peratus, pelaburan keseluruhan RM330 bilion serta kadar pengangguran dikurangkan kepada 2.2 peratus menjelang 2030.
RS-2 turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendapatan antara daerah, selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pembangunan perumahan, pengangkutan awam dan kemudahan sokongan.
Kerangka itu menjadi kesinambungan kepada Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dengan pelaksanaan RS-2 kini menjadi panduan utama Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran pembangunan Selangor sehingga 2030.





