SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan dua notis penguatkuasaan terhadap sebuah premis alat ganti kenderaan terpakai di Jalan Jaya Setia, Kampung Bukit Kapar, selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Menurut MBDK, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Jabatan Pelesenan, Jabatan Perancang Bandar serta Jabatan Penguatkuasaan MBDK bagi memastikan aktiviti dan penggunaan premis mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
"Pemeriksaan mendapati premis berkenaan ditutup dan tiada individu berada di lokasi ketika operasi dijalankan.
"Susulan itu, Jabatan Perancang Bandar mengeluarkan Notis Arahan Pemulihan Tapak dan Memberhentikan Aktiviti mengikut Seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976," menurut MBDK di Facebook.
Pada masa sama, Jabatan Pelesenan turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Premis di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 PTPP (MPK) 2007.
MBDK berkata operasi bersepadu dan pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur, mematuhi syarat yang ditetapkan serta tidak menjejaskan kepentingan awam.











