KLANG, 12 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan kompaun dan sitaan terhadap peniaga tanpa lesen dalam operasi pemeriksaan di Pulau Indah di sini, kelmarin.
Operasi berkenaan mendapati seramai 33 peniaga pasar malam menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.
Daripada jumlah itu, 26 merupakan peniaga warga tempatan manakala tujuh lagi warga asing.
Antara barangan yang dijual ialah barangan basah, sayur-sayuran, hasil laut, barangan runcit, pakaian, aksesori dan buah-buahan.
MBDK turut mengenal pasti premis perniagaan yang diusahakan warga asing dengan menjual barangan runcit serta ayam hidup.
Menerusi kenyataan di Facebook, MBDK memaklumkan tujuh premis perniagaan dikenakan kompaun dan sitaan di bawah UUK 3 Penjaja (MPK) 2007.
Dua lagi premis perniagaan disita masing-masing di bawah UUK 3 PTPP (MPK) 2007 dan UUK 3(1) Pem (MPK) 2007 membabitkan penjualan ayam hidup.
“Peniaga tempatan yang didapati menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen diberikan amaran lisan dan diingatkan supaya mematuhi peraturan serta mendapatkan lesen sah sebelum menjalani aktiviti perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Tindakan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBDK dijalankan secara teratur dan mematuhi peraturan ditetapkan.
“MBDK akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur, sah dan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.








