ISLAMABAD, 11 OGOS: Sisa Taufan Dolphin terus membawa hujan lebat dan angin kencang di seluruh utara dan timur China pada Selasa, sekali gus mencetuskan langkah kecemasan di Beijing serta beberapa wilayah walaupun ribut berkenaan tidak lagi diklasifikasikan sebagai taufan, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik media tempatan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan China mengeluarkan amaran jingga bagi hujan lebat, memberi amaran bahawa beberapa kawasan dijangka menerima taburan hujan antara 250 hingga 300 milimeter, lapor Global Times yang memetik CCTV.
Beijing mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan kawalan banjir Tahap 2 dan mengarahkan pemindahan di kawasan yang terdedah kepada banjir dan tanah runtuh.
Kerja-kerja pembinaan digantung, manakala tapak perkhemahan tanah tinggi dan tempat tarikan pelancong ditutup.
Bermula Rabu, pihak sekolah berkemungkinan menangguhkan sesi persekolahan serta aktiviti pengajaran dan latihan di luar bilik darjah, manakala acara sukan luar juga akan dihentikan.
Pihak berkuasa turut merancang pelarasan waktu kerja fleksibel serta penyesuaian lalu lintas dan pengangkutan awam.
Pegawai memberi amaran mengenai risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir bandar berikutan sisa Taufan Dolphin bercampur dengan udara sejuk. Hujan lebat diramalkan melanda Beijing, Hebei, Henan, Shandong dan beberapa wilayah lain.
Sementara itu, Ribut Tropika Chan-hom semakin menghampiri Jepun dan dijangka menjejaskan Tokyo serta kawasan lebih luas di Wilayah Kanto pada Selasa malam, dengan pihak berkuasa memberi amaran mengenai hujan lebat, angin kencang dan ombak tinggi yang boleh mengganggu sistem pengangkutan, menurut NHK.
Di Filipina, jumlah kematian akibat angin monsun barat daya yang meningkat serta taufan tropika baru-baru ini meningkat kepada 26 orang, merangkumi 25 orang awam dan seorang pegawai polis, laporkan ABS-CBN News yang memetik Polis Kebangsaan Filipina.
Enam belas kematian direkodkan di Wilayah Cordillera, kesemuanya berpunca daripada kejadian tanah runtuh di Bandar Baguio dan Benguet.









