SHAH ALAM, 11 OGOS: Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)-MILO mencatat rekod penyertaan tertinggi apabila menghimpunkan seramai 402 pemain muda dari seluruh negara bagi edisi ke-36 tahun ini.
Jumlah itu meningkat lebih 35 peratus berbanding 297 peserta pada edisi tahun lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan tenis dalam kalangan remaja.
Menurut MBPJ, Selangor merekodkan penyertaan terbesar dengan 124 pemain, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (88) dan Perak (31).
Kejohanan yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September depan itu akan diadakan di Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya dan Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya.
Edisi kali ini mempertandingkan kategori bawah lapan, 10, 12, 14 dan 16 tahun bagi acara perseorangan serta beregu lelaki dan perempuan.
MBPJ memaklumkan kejohanan berkenaan turut mendapat pengiktirafan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sebagai pertandingan Ranking Remaja Kebangsaan, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengumpul mata ranking rasmi LTAM.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform persaingan, malah berperanan mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili negeri dan negara pada masa hadapan.
Penganjuran Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-MILO ke-36 mendapat sokongan Nestlé Products Sdn. Bhd. (MILO), F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., LTAM, Persatuan Tenis Selangor serta Majlis Sukan Negeri Selangor.
MBPJ turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan aksi pemain muda dan memberi sokongan kepada usaha melahirkan lebih ramai pelapis tenis negara.








