Pakar: Laporan RCI jadi asas TH kukuh semula tadbir urus, pulih keyakinan rakyat

10 Ogos 2026, 5:36 AM
Pakar: Laporan RCI jadi asas TH kukuh semula tadbir urus, pulih keyakinan rakyat
Pakar: Laporan RCI jadi asas TH kukuh semula tadbir urus, pulih keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Lembaga Tabung Haji (TH) perlu memperkukuh aspek kelestarian institusi bagi memastikan ia bukan sahaja mampu bertahan dalam jangka panjang, malah mempunyai struktur tadbir urus, pengurusan risiko dan strategi pelaburan yang kukuh untuk melindungi kepentingan pendeposit.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berkata nilai terbesar Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah untuk memulihkan keyakinan melalui ketelusan, selain membina sistem yang lebih kukuh untuk masyarakat.

“Kita tidak mahu RCI hanya menjadi sebagai satu laporan sejarah, kita mahu ia menjadi sebagai satu asas kepada reformasi supaya kelemahan yang dikenal pasti tidak lagi berulang,” katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program Fokus15 terbitan Bernama TV bertajuk RCI Tabung Haji: Mengukur Kos Keyakinan terhadap Ekonomi hari ini.

Abdul Rahim berkata pertumbuhan ekonomi dan keyakinan terhadap institusi merupakan dua aspek yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan kerana ekonomi yang kukuh memerlukan institusi yang dipercayai.

Pada masa sama, katanya, keyakinan terhadap institusi lebih mudah dipertahankan apabila pertumbuhan ekonomi mampu memberikan hasil yang nyata kepada rakyat.

"Saya melihat ini sebagai satu rantaian ekonomi. Tadbir urus yang baik akan membina keyakinan, manakala keyakinan pula akan menarik pelaburan.

“Pelaburan seterusnya akan meningkatkan kapasiti dan teknologi, manakala teknologi akan meningkatkan produktiviti, sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dan akhirnya akan meningkatkan gaji serta kuasa beli rakyat. Inilah rantaian ekonomi yang sebolehnya kita ingin capai," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.