Tembakan di sekolah Thailand: Sembilan maut, 14 masih dirawat

8 Ogos 2026, 2:55 PM
Tembakan di sekolah Thailand: Sembilan maut, 14 masih dirawat

BANGKOK, 8 OGOS: Jumlah korban insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, Thailand, pada Jumaat meningkat kepada sembilan orang, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Xinhua.

Memetik Kementerian Kesihatan Awam, jabatan perhubungan awam wilayah itu memaklumkan menerusi hantaran di Facebook bahawa setakat 4 petang waktu tempatan pada Sabtu, insiden berkenaan telah meragut sembilan nyawa, manakala 14 mangsa masih dirawat di hospital.

Menurut laporan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dihantar ke hospital. Sekolah Debsirin Nonthaburi, iaitu sekolah mangsa dan lokasi kejadian, turut merakamkan ucapan takziah menerusi media sosial.

Isteri kepada seorang guru yang ditembak mati tidak dapat menahan kesedihan di Sekolah Debsirin Nonthaburi, lokasi kejadian tembakan di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, di pinggir Bangkok, Thailand, pada 7 Ogos 2026. Foto REUTERS

Polis Thailand pada Sabtu memanggil beberapa pelajar dan guru sekolah berkenaan bagi menyiasat motif suspek berusia 14 tahun itu serta sumber peluru yang digunakan. Polis turut memaklumkan bahawa sidang media akan diadakan pada Ahad bagi mengumumkan hasil awal siasatan.

Laporan terdahulu menyatakan bahawa serangan itu mengorbankan lapan orang, termasuk suspek, datuk dan neneknya.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.