Ismail Sabri dirawat di IJN, pendakwaan ditangguh ke 27 Ogos

7 Ogos 2026, 2:32 AM
Ismail Sabri dirawat di IJN, pendakwaan ditangguh ke 27 Ogos

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini Suzana Hussin menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di IJN.

Amer Hamzah berkata anak guamnya mengalami masalah kesihatan semalam ketika dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibawa ke IJN.

“Doktor yang merawat mengesahkan anak guam kami mengalami possible arrhythmia (kemungkinan degupan jantung tidak sekata) yang memerlukan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata Ismail Sabri dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure) pada petang ini dan dijangka dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

Sehubungan dengan itu, Amer Hamzah berkata pihaknya memohon agar pembacaan pertuduhan, pengambilan pengakuan serta perkara berkaitan termasuk isu jaminan ditangguhkan ke tarikh lain.

“Kami juga memohon agar 27 Ogos ditetapkan sebagai tarikh baharu. Memandangkan anak guam kami masih di bawah jaminan SPRM, tiada isu beliau akan melarikan diri. Mahkamah juga dialu-alukan untuk melawat sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dan izin untuk mendakwa.

Berdasarkan senarai jadual mahkamah, Ahli Parlimen Bera itu sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 hari ini mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.

—BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.