SHAH ALAM, 6 OGOS: Seorang lelaki yang menjadikan tabung masjid dan surau sebagai sasaran jenayah sejak lima tahun lalu dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 69 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mu'ammar Raid Abdul Malik, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Berita Harian.
Empat pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencuri wang tunai dan wang tabung di beberapa rumah ibadat, termasuk RM3,000 milik Madrasah Al Jariah Kampungku Sayang pada jam 2.30 pagi, 25 November 2025.
Tertuduh turut didakwa mencuri wang tabung di Surau Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling pada jam 4.45 pagi, 30 Mac 2026 serta Surau Al Karim, Kampung Gedong Lalang pada jam 6.38 petang, 31 Mac lalu.
Selain itu, dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri wang tabung Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang pada jam 11.10 malam, 16 Ogos 2021 mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.
Mu'ammar Raid turut didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh tanpa kebenaran pada tarikh sama serta memasuki Surau Al Mustaqim, Batu Berendam pada jam 3.22 pagi, 29 November 2025.
Bagi pertuduhan ketujuh, dia didakwa memecah masuk Surau An-Naim, Klebang Besar bagi tujuan mencuri pada jam 4.30 pagi, 28 November 2025 mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta polis pada 16 Ogos 2021 dan 18 Julai 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara keseluruhan 69 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 Julai lalu.







