Natasha sasar emas berpasukan Piala Dunia IBF 2026

5 Ogos 2026, 4:54 AM
Natasha sasar emas berpasukan Piala Dunia IBF 2026

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Jaguh boling negara Natasha Mohamed Roslan meletakkan sasaran membantu Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan wanita pada kejohanan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2026, dijadual berlangsung di Munich, Jerman, pada 13 hingga 21 Okt depan.

Natasha optimis kekuatan skuad negara dari segi semangat berpasukan dan komunikasi mampu memacu pasukan meraih kejayaan itu, sekali gus memperbaiki prestasi selepas tumpas 2-3 kepada Amerika Syarikat pada saingan final di Hong Kong tahun lepas.

“Saya harap tahun ini kita akan memperbaiki pencapaian. Acara berpasukan sentiasa menjadi sasaran kerana setiap pemain akan membawa pulang pingat," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 30 tahun berkenaan mengakui cabaran mempertahankan gelaran individu Piala Dunia kali ini bukan sesuatu yang mudah, namun tetap bertekad memberikan aksi terbaik.

Beliau menjangkakan cabaran lebih sengit dalam saingan individu menantinya kali ini, dengan kehadiran pencabar dari Amerika Syarikat, Jerman, Sweden dan Singapura, selain daripada rakan sepasukannya.

Natasha mencipta sejarah apabila muncul pemain boling wanita pertama Malaysia menjuarai Piala Dunia IBF selepas 13 tahun dengan menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks, 217-166, 226-169.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.